3 penyamun bawa lari Myvi berjaya diberkas

PETALING JAYA – Tiga individu warga tempatan berjaya ditahan pihak polis susulan terbabit dalam kes samun seorang lelaki sebelum melarikan kereta mangsa berhampiran kawasan kejiranan pangsapuri, di sini, pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tiga suspek berkenaan menyamun mangsa yang berusia 25 tahun menggunakan sebilah parang panjang.

“Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa telah dilarikan oleh suspek berkenaan yang memakai topi keledar visor gelap serta berpelitup muka.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian samun terbabit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua suspek berusia 32 tahun dan seorang lagi berusia 39 tahun tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar daerah Petaling Jaya dan Subang Jaya semalam.

“Kami turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, senjata tajam yang disyaki digunakan semasa melakukan aktiviti samun serta sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek.

“Sehubungan itu, kereta mangsa yang dilarikan sebelum ini turut dijumpai semula,”ujarnya.

Jelas Ku Mashariman, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

The post 3 penyamun bawa lari Myvi berjaya diberkas appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*