3,000 Penghuni Penjara Diberi Latihan Kemahiran Menjelang 2030

Penghuni Penjara Diberi Latihan Kemahiran

SUNGAI UDANG, 22 Ogos 2023 – Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi: Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam bertempat di Kompleks Penjara Sungai Udang Melaka.

SWCorp telah dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia pada 31 Januari 2019 bagi melaksanakan fungsi-fungsi mengikut keperluan Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai Pusat Latihan Bertauliah dalam Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional. SWCorp sebagai agensi yang menerajui kebersihan negara merancang untuk menjadikan sektor pekerja pembersihan sebagai profesion yang mempunyai kemahiran tinggi melalui transformasi kemahiran, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan taraf sektor pekerjaan pembersihan. Latihan ini akan diperluas kepada semua pekerja pembersihan pada masa akan datang.

Selain itu, pelaksanaan sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia kepada pekerja- pekerja sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh pihak KPKT melalui SWCorp adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia yang mampu memberikan impak yang positif dalam peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada keperluan pekerja asing dalam sektor ini.

Pelaksanaan inisiatif pensijilan kemahiran Malaysia ini juga adalah merupakan hasrat KPKT yang telah diterjemahkan di dalam Dasar Kebersihan Negara Tahun 2020- 2030 dengan sasaran peningkatan kualiti dan kemahiran pekerja dalam sektor pembersihan menjelang tahun 2030.

Secara purata lebih kurang 26% pekerja dalam sektor pembersihan adalah terdiri dari warga asing. Stigma masyarakat sering memandang bidang pekerjaan di dalam sektor tersebut sebagai satu pekerjaan yang mempunyai ciri 3D iaitu dangerous (berbahaya), dirty (kotor) dan difficult (sukar). Pengiktirafan kepada lebih 1,000 orang yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia atau SKM Tahap 2 dan 3 dalam pelbagai bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sehingga tahun 2023 secara tidak langsung akan memberikan implikasi positif kepada pekerja-pekerja sektor pembersihan dari sudut peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih baik. Ianya boleh dicapai melalui pematuhan kerja berdasarkan standard bagi memenuhi ekspektasi rakyat yang menginginkan perkhidmatan yang cekap, bersih dan berkualiti.

Penghuni Penjara Diberi Latihan Kemahiran

Menurut YB Akmal, Program Sinar di Sebalik Tirai Besi merupakan satu lagi inisiatif baharu Kerajaan yang digerakkan bersama dua (2) Kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia. Inisiatif ini juga selaras dengan enam (6) nilai teras Malaysia MADANI ke arah kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar.

Seramai 280 orang penghuni penjara di 17 Institusi Penjara di Semenanjung Malaysia telah terpilih bagi menyertai program yang julung kalinya diadakan pada tahun 2023 ini bermula 1 Jun 2023 yang lalu. Melalui program latihan kemahiran secara teori dan amali ini, perantis didedahkan dengan skop berkaitan pelaksanaan cara kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard enam (6) aktiviti utama pembersihan awam yang ditetapkan. Inisiatif baharu ini juga telah berjaya mencatatkan dua (2) rekod baharu di dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Beliau turut menambah, seramai 3,000 orang penghuni penjara akan dilatih dan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menjelang tahun 2030. Sehubungan itu, peruntukan sebanyak RM1.57 juta disediakan untuk pelaksanaan latihan kemahiran pada tahun 2023. KPKT melalui SWCorp juga akan menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000.00 dalam bentuk peralatan bagi melaksanakan latihan kemahiran kepada semua 17 buah penjara terlibat. Pemberian peralatan ini adalah untuk membantu perantis meningkatkan kecekapan mereka dalam pengendalian peralatan yang terlibat dalam latihan kemahiran program pembersihan awam.

Inisiatif yang mulia ini diharap dapat membantu proses pembinaan kendiri dan peluang kepada bekas-bekas penghuni penjara agar mereka dapat membina kehidupan baharu yang lebih baik selepas selesai menjalani tempoh pemulihan.

Ketiga-tiga syarikat konsesi di bawah seliaan SWCorp iaitu E-Idaman Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan SWM Environment Sdn Bhd juga bersedia menawarkan pekerjaan kepada perantis yang terlibat. Penawaran kerja fasa pertama melibatkan 137 orang penghuni penjara yang akan dibebaskan secara berperingkat mulai bulan Januari 2024. Selain itu, perancangan bagi cadangan penawaran kerja di industri melalui Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) kepada 136 orang perantis yang masih mempunyai baki tempoh pemulihan sehingga tahun 2028 juga sedang diselaraskan oleh SWCorp dan Jabatan Penjara Malaysia.

Penghuni Penjara Diberi Latihan Kemahiran

YB Akmal turut menyeru syarikat-syarikat konsesi serta operator pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini sama ada di bawah seliaan SWCorp atau di bawah pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menyelaras tawaran kerja kepada penghuni penjara yang mempunyai Sijil Kemahiran ini dengan penyediaan faedah dan manfaat yang sama seperti pekerja-
pekerja sedia ada.

Beliau menguarkan KPKT melalui SWCorp akan memperluaskan lagi inisiatif pensijilan kemahiran Malaysia ini bagi melatih pelajar-pelajar IPTA dalam Program Kemahiran Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Seramai 300 orang pelajar IPTA disasarkan untuk menyertai Program Pensijilan Kemahiran Malaysia pada tahun hadapan (2024). Ia akan melibatkan tiga (3) IPTA iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Penambahan lagi, program baharu “Second Chance” atau Peluang Kedua juga sedang dirangka untuk dilaksanakan pada tahun 2024. Program ini akan menyasarkan penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney dan Pusat Pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Datuk Rais bin Datuk Wira Yasin, EXCO Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Haji Nordin bin Haji Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia; YBrs. Ts. Mohd Raris bin Mohamed Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Tengah; Tuan Murali Jayabalan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp.

The post 3,000 Penghuni Penjara Diberi Latihan Kemahiran Menjelang 2030 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*