43,000 Orang Mungkin Terkorban Akibat Kemarau Di Somalia Pada Tahun Lalu

kemarau di somalia

43,000 Orang Mungkin Terkorban Akibat Kemarau Di Somalia Pada Tahun Lalu

SOMALIA – Kira-kira 43,000 orang di Somalia berkemungkinan terkorban akibat musim kemarau yang melanda negara itu pada tahun lalu, lapor BBC News.

Angka itu telah diterbitkan dalam satu laporan oleh Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dijalankan di London School of Hygiene and Tropical Medicne dan Imperial College London.

Laporan itu turut menyatakan bahawa separuh daripada kematian dipercayai berlaku pada kanak-kanak bawah lima tahun

Lebih membimbangkan, krisis ini dijangka akan berterusan, dengan 18,000 hingga 34,000 lagi kematian berkemungkinan akan dicatatkan dalam enam bulan pertama tahun ini.

Krisis yang berlaku di negara itu turut menyaksikan banyak haiwan ternakan yang telah mati serta berlakunya kenaikan harga makanan global.

Sementara itu, Somalia juga telah merekodkan lebih suku juta kematian akibat kebuluran pada tahun 2011.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Mamunur Rahman Malik berkata pihaknya kini kesuntukan masa untuk mencegah kematian dan menyelamatkan nyawa penduduk di situ.

Manakala, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka memerlukan $2.6 bilion untuk pelan tindak balas kemarau Somalia pada tahun ini.

Menurutnya, 15% daripada pelan itu telah dibiayai.

Beberapa pegawai kemanusiaan pula percaya bahawa masyarakat antarabangsa telah mengetepikan krisis tersebut akibat perang di Ukraine.

Pada Januari lalu, penyelaras kemanusiaan PBB di Somalia, Adam Abdelmoula berkata ada sesetengah penderma yang telah menghentikan bantuan dan memberikan tumpuan kepada Ukraine.

BACA: Kemarau Terburuk Landa Benua Afrika, 22 Juta Penduduk Berdepan Masalah Kebuluran

Terdahulu, PBB memaklumkan bahawa seramai 12 juta penduduk di Ethopia, 5.6 juta di Somalia dan 4.3 juta di Kenya berdepan masalah kelaparan akibat kemarau.

Dalam laporan Program Makanan Sedunia PBB pada 23 Januari lalu, jumlah tersebut dikatakan meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 13 juta orang yang dilaporkan pada awal tahun 2020.

“Susulan itu, sejumlah 1.7 juta orang diseluruh rantau itu dilaporkan telah keluar dari rumah mereka ekoran kekurangan air dan kawasan berumput,” kata badan tersebut.

Tambahan lagi, tanaman yang diusahakan turut rosak akibat serangan belalang sejak 2019 hingga 2021 dan haiwan ternakan turut mengalami nasib yang serupa.

Sumber: BBC NEWS

The post 43,000 Orang Mungkin Terkorban Akibat Kemarau Di Somalia Pada Tahun Lalu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*