ABM Lancarkan Kempen #JanganKenaScam, Perkasakan Warga Malaysia Perangi Scam

ABM Lancarkan Kempen #JanganKenaScam, Perkasakan Warga Malaysia Perangi Scam

Kuala Lumpur, 3 Oktober 2023 — Bank-bank yang berada di bawah naungan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) hari ini berganding bahu untuk sama-sama melancarkan semula kempen kesedaran #JanganKenaScam. Kempen kesedaran scam di peringkat kebangsaan ini membuktikan komitmen industri perbankan untuk memerangi scam kewangan dengan memupuk kerjasama dan mengukuhkan usaha mencegah aktiviti perbankan yang palsu dengan membawa satu mesej yang berkesan tentang scam.

Untuk mengawal peningkatan kes penipuan kewangan di negara ini, kempen ini akan dilancarkan dengan skala yang lebih besar daripada sebelumnya dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pameran #JanganKenaScam Fest di peringkat kebangsaan yang akan diadakan bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di  kawasan luar bandar. Pameran ini akan menampilkan jerayawara pengalaman dan pameran maklumat bagi memberi rakyat Malaysia pengetahuan anti-scam yang praktikal. Dengan langkah ini, mereka dapat mengenalpasti taktik scam dengan mudah, dan seterusnya melindungi diri dan orang yang tersayang.

“Walaupun langkah-langkah keselamatan dan teknologi itu penting, kesedaran awam tetap menjadi pertahanan paling penting buat kita. Mendidik orang awam tentang penipuan adalah usaha berterusan yang patut diberikan keutamaan. Saya menghargai usaha sektor swasta dalam menyelaraskan strategi anti-penipuan industri secara menyeluruh melalui jawatankuasa industri. Inisiatif yang dipimpin oleh industri seperti ini adalah bukti komitmen tinggi sektor swasta,” kata Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia dalam ucapan pembukaan beliau sempena pelancaran kempen.

Pada awal tahun ini, industri perbankan telah sama-sama melaksanakan beberapa langkah keselamatan yang penting untuk memerangi scam. Antaranya termasuk peralihan daripada kata laluan sekali SMS (OTP) untuk pengesahan yang lebih selamat, peningkatan peraturan sistem untuk mengesan penipuan, perlaksanaan penungguan tempoh pengesahan untuk pendaftaran perbankan dalam talian kali pertama, sekatan pengesahan selamat kepada satu peranti dan penyediaan talian khusus untuk laporan penipuan kewangan.

Menurut tinjauan industri tentang kesedaran scam dalam kalangan pelanggan bank yang dijalankan oleh Rakuten Insights dari bulan Jun hingga Julai 2023, sembilan daripada 10 pelanggan membaca amaran tentang scam dan mengemaskinikan pengetahuan mereka tentang taktik terkini scam. Walau bagaimanapun, hampir 60% yang merasakan bahawa mereka masih kurang bersedia melawan penipuan kewangan.

“Untuk memerangi pelaku scam, kita perlu belajar gaya bahasa mereka. Kami harap aspek jerayawara pengalaman yang disediakan dalam kempen #JanganKenaScam dan disokong oleh pusat sumber anti scam di www.JanganKenaScam.com, mampu menyediakan saluran yang membolehkan orang ramai memahami teknik-teknik manipulasi yang digunakan oleh pelaku scam dalam penipuan kewangan. Kami menggalakkan orang ramai berjuang bersama kami dalam memerangi penipuan dan menghapuskan aktiviti scam. Para pelanggan perlu sentiasa berwaspada dan jangan sekali-kali berkongsi maklumat perbankan mereka dengan sesiapa,” kata Pengerusi ABM Dato’ Khairussaleh Ramli.

“Tinjauan seterusnya mendapati hampir 80% daripada pelanggan percaya bahawa mangsa scam secara tidak sengaja mendedahkan maklumat perbankan mereka dalam kejadian scam. Penemuan ini menekankan kepentingan usaha sama oleh industri perbankan dan disokong oleh pihak-pihak berkepentingan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meluaskan lagi capaian kempen #JanganKenaScam berbanding kempen sebelum ini, agar orang awam dapat diperkasakan dengan pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk melindungi diri daripada ancaman yang sentiasa berubah. Kita boleh bersama-sama mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat dan boleh dipercayai,” tambah Dato’ Khairussaleh.

Presiden AIBIM, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, berkata, “Komitmen kami untuk melindungi kesejahteraan kewangan komuniti kita kekal teguh. Kempen #JanganKenaScam yang diperbaharui adalah usaha kami yang penting untuk meningkatkan kesedaran dan memerangi penipuan. Kami akan terus mewarwarkan kempen kesedaran scam untuk mendidik para individu dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk melindungi transaksi kewangan dalam talian mereka.”

Semasa pelancaran kempen, satu taklimat media interaktif dan perbincangan panel yang berpusat pada tema ‘Meningkatkan Literasi Penipuan Digital untuk Terus Membangunkan Persekitaran Dalam Talian yang Selamat untuk Rakyat Malaysia’ telah diadakan, untuk memberikan pandangan bernas mengenai taktik scam terkini yang membolehkan orang awam mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya jika berdepan dengan sebarang bentuk scam.

Sementara itu, selebriti dan usahawan terkenal, Hairul Azreen turut bersama-sama memerangi scam dengan menjadi duta rasmi kempen #JanganKenaScam. Hairul akan menjadi penyokong utama bagi kesedaran awam terhadap scam dan menyertai kempen #JanganKenaScam untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia supaya bertindak secara aktif menentang scam.

Sebagai seorang selebriti dengan kehadiran media sosial yang kukuh, Hairul mampu berhubung secara berkesan dengan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur. Sokongan beliau terhadap kempen ini sudah tentu akan memperkukuh usaha industri perbankan untuk menyebarkan maklumat penting, menggalakkan kewaspadaan dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia

Orang ramai juga berpeluang untuk menyertai kempen #JanganKenaScam di pelbagai lokasi di seluruh negara, bermula dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Bertam, Pulau Pinang mulai sekarang hingga 8 Oktober 2023 dan seterusnya di Pusat Beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya mulai 15 hingga 19 November 2023. Turut serta ialah duta kempen Hairul Azreen, yang akan tampil di lokasi-lokasi terpilih bagi pameran #JanganKenaScam Fest.

Untuk maklumat lanjut tentang kempen #JanganKenaScam dan petua untuk memerangi scam, orang ramai boleh melayari www.JanganKenaScam.com.

The post ABM Lancarkan Kempen #JanganKenaScam, Perkasakan Warga Malaysia Perangi Scam appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*