Ala-ala Permainan Video The Sim, Kenali Bondee, Aplikasi Media Sosial Baru Yang Tengah Viral

Ala-ala Permainan Video The Sim, Kenali Bondee, Aplikasi Media Sosial Baru Yang Tengah Viral

Jika anda kerap melihat kandungan di media sosial, pasti anda ada bertemu dengan beberapa hantaran yang dibuat oleh rakan dan kenalan yang berkongsi avatar mereka dengan perkataan ‘Bondee‘ di atasnya.

Identiti maya yang sangat comel ini mengingatkan kita terhadap beberapa permainan yang berunsurkan genre Lifestyle dan simulasi seperti The Sims, Roblox dan Habbo Hotel.

Apa sebenarnya Bondee ini?

Bondee sebenarnya adalah aplikasi baharu yang dilancarkan pada bulan ini, atau lebih tepat pada 17 Januari lepas. Ia adalah sebuah aplikasi media sosial berasaskan avatar maya yang dihasilkan oleh sebuah firma teknologi di Singapura, Metadream.

Menerusi aplikasi ini, para pengguna boleh bertemu dan berinteraksi dengan pengguna lain menerusi platform alam maya.

Salah satu matlamat Bondee adalah untuk membolehkan pengguna ‘tinggal bersama-sama rakan-rakan’ di dalam tetapan dunia maya.

Bagaimana aplikasi Bondee berfungsi?

Jika pengguna membuka aplikasi Bondee buat kali pertama, mereka boleh mencipta ‘diri’ mereka secara maya dalam bentuk 3D.

Terdapat pelbagai pilihan untuk menghasilkan avatar yang comel seperti dandanan rambut, pakaian, kasut dan aksesori, termasuklah memiliki haiwan peliharaan.

Kredit: Lifestyle Asia

 

Setelah berpuas hati dengan rekaan avatar, pengguna perlu mencipta ruangan maya atau boleh dikatakan sebagai rumah bagi avatar rekaan anda.

Sama seperti penghasilan avatar, terdapat pelbagai pilihan perabot yang boleh dipilih pengguna untuk menghasilkan ruangan maya yang ideal.

Kredit: Lifestyle Asia

Menerusi ruangan ini, pengguna boleh berkongsi status seperti emosi, hobi dan apa yang berlaku dalam kehidupan anda. Ia seolah-olah sebuah diari yang merekodkan pengalaman peribadi setiap hari.

Fitur yang sama juga boleh diakses oleh rakan-rakan dan pengguna lain yang menggunakan aplikasi tersebut. Anda boleh bersembang dengan rakan-rakan maya menerusi platform penghantaran mesej dengan menggunakan avatar untuk menggambarkan apa yang anda lakukan atau apa yang anda rasai ketika itu.

Kredit: Lifestyle Asia

Yeay, boleh lepak ‘rumah’ kawan bila-bila masa sahaja!

Mirip seperti permainan video Animal Crossing: New Horizons, Bondee turut membenarkan penggunanya untuk melawat ruangan maya milik rakan-rakan dan merancang aktiviti maya bersama-sama.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah berkhemah, menari dan berkelah bersama rakan-rakan Bondee di dunia maya.

Kredit: Bondee

Untuk menjadikan laman maya ini lebih realistik, anda juga boleh meletakkan komen pada bahagian nota peringatan yang memaklumkan bahawa anda tinggal bersama rakan-rakan anda.

Manakala untuk menambah atau mencari kenalan, ia boleh dibuat menerusi imbasan kod QR atau carian menerusi ID pengguna. Setakat ini, jumlah kenalan yang boleh ditambah terhad kepada 50 pengguna sahaja.

Perancangan untuk memiliki konsep open world

Jika anda biasa bermain permainan video yang menampilkan konsep dunia terbuka seperti Minecraft, Genshin Impact dan sebagainya, konsep yang cuba dibawa oleh Bondee lebih mudah difahami.

Salah satu fitur dalam Bondee sama seperti fitur yang ada di dalam permainan-permainan di atas yang mana membenarkan pengguna meneroka dunia baharu dan berhubung dengan pengguna-pengguna di luar senarai kenalan.

Selain itu, Bondee juga membenarkan pengguna menghantar mesej secara rawak menerusi fitur botol kaca yang dihanyutkan di laut, mirip seperti fungsi BottleMi dalam aplikasi Hayolab.

Sumber: Lifestyla Asia

The post Ala-ala Permainan Video The Sim, Kenali Bondee, Aplikasi Media Sosial Baru Yang Tengah Viral appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*