Op HRA 2023: 48 Saman Dikeluarkan Di Melaka Sejak Selasa

Op HRA Melaka

Op HRA 2023: 48 Saman Dikeluarkan Di Melaka Sejak Selasa

MELAKA, 20 April (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 48 saman membabitkan pelbagai kesalahan setakat semalam, sejak pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2023 (Op HRA 2023) pada Selasa lepas.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata kesalahan tertinggi dikesan ialah melanggar lampu isyarat merah iaitu 29 kes, tidak memakai tali pinggang keledar 16 kes dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebanyak tiga kes.

“Kesalahan ini antara senarai tujuh kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mereka yang didapati melakukan semua kesalahan ini sepanjang tempoh itu akan dikemukakan saman dan pesalah perlu ke mahkamah untuk penyelesaian lanjut.

“Lain-lain kesalahan yang tidak boleh dikompaun itu ialah memandu dalam lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan,” katanya kepada pemberita selepas program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Op HRA 2023 di Melaka Sentral malam tadi.

Program itu telah disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata JPJ juga akan menjalankan penguatkuasaan yang menyeluruh bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan memastikan kelancaran pergerakan perjalanan pulang berhari raya serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

BACA JUGA: Ops HRA: JPJ Selangor Fokus 23 Kawasan Kerap Kemalangan

Katanya, tiga kawasan panas dikenal pasti di negeri ini iaitu di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA), Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Jalan Ayer Keroh Lama.

“Kita akan meletak anggota penguat kuasa untuk memantau di lokasi terbabit sepanjang tempoh Op HRA 2023 pada perayaan Aidilfitri bermula 18 hingga 27 April ini,” katanya.

Beliau berkata sempena Op HRA itu juga, sebanyak 127 pemandu bas telah disaring menjalani ujian air kencing dan kesemua mereka didapati negatif.

Sementara itu, Hameed berkata semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu memandangkan aliran trafik dijangka mengalami peningkatan kenderaan sepanjang musim perayaan di pintu masuk dan keluar Melaka.

“Dalam situasi sebegini, sikap toleransi dan hormat-menghormati perlu dipraktikkan agar sentiasa bersabar dan bertolak ansur demi mewujudkan suasana harmoni dan selamat di jalan raya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Op HRA 2023: 48 Saman Dikeluarkan Di Melaka Sejak Selasa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*