Anak Hamzah Zainudin Didakwa Beri Maklumat Palsu

anak hamzah zainudin

Anak Hamzah Zainudin Didakwa Beri Maklumat Palsu

SEREMBAN, 5 April (Bernama) — Anak kepada bekas menteri dan rakan perniagaannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu dan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Azizul Abdul Halim, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd iaitu syarikat pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, didapati telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

BACA: Hamzah Zainudin Ketua Pembangkang Dewan Rakyat – Takiyuddin

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat itu yang diwakili mereka turut didakwa mengemukakan invois palsu dan memiliki minyak masak melebihi had 50 metrik tan, mengikut Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat KPDN dan premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang kira-kira pukul 11.15 malam, 11 Ogos dan 5 petang, 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Mohd Sophian Zakaria dan Syazwani Zawawi manakala kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib.

Mohd Sophian memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi kepada Muhammad Faisal dan Azizul mengambil kira sembilan pertuduhan, selain ia membabitkan barang kawalan yang mempunyai kepentingan kepada awam.

Sumber: BERNAMA

The post Anak Hamzah Zainudin Didakwa Beri Maklumat Palsu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*