Apa Hukum Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Apa Hukum Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Pernah tak anda diberitahu untuk melakukan sujud sahwi sekiranya terlupa untuk membaca doa Qunut ketika solat Subuh? Maka anda pun melakukannya apabila anda terlupa untuk membaca doa Qunut.

Ada juga yang mengatakan bahawa sekiranya anda rasa was-was dengan rakaat yang dilakukan ketika sedang solat, anda boleh melakukan sujud sahwi. Tetapi, apakah sebenarnya hukum sujud sahwi ini?

Perkongsian daripada Maktabah Al-Bakri ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada anda semua.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebenarnya, apakah hukum sujud sahwi, adakah ia sunat ataupun wajib? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Maksud sahwi dari segi bahasa ialah lupa atau lalai akan sesuatu. Manakala yang dimaksudkan dengan sahwi di sini ialah kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Oleh itu sujud ini – yang dilakukan di penghujung solat – akan menjadi penutup kepada kecacatan tersebut.

Ia dilakukan dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. Tempatnya ialah pada akhir solat sebelum salam. Hukum sujud sahwi adalah sunat apabila terjadi salah satu daripada sebab-sebabnya. 

Sujud sahwi merupakan sujud yang dilakukan kerana kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Ia dilakukan pada akhir solat sebelum salam dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْن

Maksudnya: Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya? Maka Nabi SAW bersabda: “Benarkah apa yang dia katakan?” Maka para sahabat pun berkata: “Ya.” Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

Riwayat al-Bukhari (1169)

Imam al-Nawawi menyebut: Sujud Sahwi ialah dua sujud yang di dalamnya terdapat duduk dan disunatkan duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal). Manakala, duduk tawaruk (duduk tahiyat akhir) selepas sujud kedua-duanya sehingga berakhir dengan salam. Sifat dua sujud ini ialah pada perbuatan sujud dan zikir bacaan ketika sujud ialah (sama dengan) sifat semua sujud di dalam solat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/161)

Menjawab persoalan di atas, para ulama bersepakat mengenai pensyariatan sujud sahwi, namun daripada sudut hukum, ia terbahagi kepada tiga pendapat:

  • Mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa hukum sujud sahwi adalah sunat dan bukannya wajib. 
  • Imam Abu Hanifah dan Malik menyatakan bahawa ia adalah wajib jika berlaku kekurangan dalam rukun. 
  • Imam Ahmad pula menyatakan bahawa ia adalah wajib jika berlaku penambahan, kekurangan pada rukun dan juga keraguan padanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/331)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Sumber: Maktabah Al-Bakri

BACA JUGA: Hukum Letak Ayat Al-Quran Pada Gambar Yang Tidak Bersesuaian

The post Apa Hukum Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Dr Zulkifli appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*