APM Kenal Pasti 6,000 Hotspot Banjir Seluruh Negara

apm hotspot banjir

APM Kenal Pasti 6,000 Hotspot Banjir Seluruh Negara

KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengenal pasti kira-kira 6,000 ‘hotspot’ banjir di seluruh negara sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini hingga Mac depan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat APM Dr Mohammad Fazli Sardi berkata APM bersama agensi lain akan memberi tumpuan di kawasan berkenaan khususnya dalam usaha memberi kesedaran kepada komuniti mengenai bencana banjir.

“Pada kali ini kita tumpukan untuk beri kesedaran kepada komuniti agar impak banjir dapat diminimumkan. Kita tahu banjir akan tetap berlaku, namun apa yang kita mahu terapkan ialah bagaimana kita berhadapan dengan bencana itu agar impak tidak teruk.

“Sebelum ini kurangnya kesedaran komuniti menyebabkan impak banjir itu besar kerana mangsa tiada persediaan awal…kita tidak mau perkara ini berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Kor Siswa Pertahanan Awam (SISPA) ke-9 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

BACA JUGA: Banjir: 10 PPS Dibuka Di Selangor, Perak

Mohammad Fazli berkata sebagai Sekretariat Bencana Alam negara pihaknya telah bersiap sedia dari segi kelengkapan dan anggota untuk menghadapi MTL.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata seramai 139 pegawai muda terdiri daripada pelajar UMS telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda (PA) setelah menamatkan latihan selama tiga tahun di UMS.

“APM, Kementerian Pengajian Tinggi, dan institusi pengajian tinggi telah berjaya membentuk satu program tahunan yang bertujuan memupuk semangat intergrasi yang melangkaui batas umur, bangsa dan agama.

“Pegawai yang ditauliah pada hari ini dapat mencetuskan gema kesukarelawanan  kepada seluruh mahasiswa di universiti masing-masing dan menabur bakti sebagai pegawai pasukan APM di seluruh negeri kelak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post APM Kenal Pasti 6,000 Hotspot Banjir Seluruh Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*