Bajet 2023: Rafizi beri bayangan KDNK lebih baik

PUTRAJAYA – Pembentangan sekali lagi Bajet 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan depan dijangka masih fokus kepada projek berimpak tinggi.

Perkara tersebut antara dibayangkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai apakah bentuk pembaharuan dalam bajet itu terutama untuk dinikmati rakyat.

“Bagi kementerian saya pula, kita komited mengekalkan paras perbelanjaan berhemah namun akan meneruskan banyak projek berimpak tinggi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan laman OpenDOSM NextGen terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia yang disaksikan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin di sini.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pembentangan Bajet 2023 dijangka jadi fokus kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 mungkin diumumkan sekitar tarikh tersebut.

“Saya optimis KDNK bagi tahun lepas adalah positif malah momentum itu akan berterusan sepanjang tahun ini meskipun penganalisis unjur berlaku kemelesetan global,” jelasnya.

Beliau merujuk kejayaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terpantas di rantau ASEAN pada suku ketiga 2022 lalu dengan KDNK amat baik iaitu sebanyak 14.2 peratus.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Perdana Menteri akan cuba memberi signal bidang yang bakal diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan bagi memacu pantas ekonomi.

Pada masa sama, Menteri Kewangan itu dijangka mengekalkan jumlah bajet yang telah pun dibentangkan Tengku Zafrul namun dengan sedikit penyelarasan sesuai situasi semasa.

Keadaan itu kemungkinan bakal menyaksikan peruntukan baki RM264.6 bilion berbanding keseluruhan RM373.3 bilion setelah ditolak amaun daripada Bajet Mini 2023 sebelum ini..

Langkah itu ujar Rafizi, perlu dilakukan kerana kerana kerajaan juga menjangkakan perolehan negara diunjurkan menguncup sedikit disebabkan kekurangan kutipan cukai korporat.-KOSMO! ONLINE

The post Bajet 2023: Rafizi beri bayangan KDNK lebih baik appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*