Penyelidik Dakwa Pisau iKnife Mampu Kesan Kanser Rahim Dalam Masa Singkat

Pisau iKnife Mampu Kesan Kanser Rahim

Penyelidik Dakwa Pisau iKnife Mampu Kesan Kanser Rahim Dalam Masa Singkat

Pasukan penyelidik di London mendakwa bahawa pisau bedah iKnife mampu mendiagnosis kanser rahim dalam beberapa saat, membolehkan ribuan pesakit untuk sembuh dengan lebih cepat, lapor The Guardian.

Kanser rahim adalah kanser keempat yang lazim dialami oleh golongan wanita dan menjejaskan kira-kira 9,000 orang dalam masa setahun di United Kingdom (UK).

Namun, hanya kira-kira 10 peratus daripada mereka yang mempunyai simptom dan menjalani biopsi sahaja yang dapat mengesan kanser tersebut.

Kini, pakar di Imperial College London mendapati bahawa iKnife, peranti yang digunakan untuk merawat kanser payudara dan otak, boleh mengesan kanser rahim atau endometrium dengan tepat.

“iKnife boleh mendiagnosis kanser rahim dalam beberapa saat, dengan ketepatan diagnostik 89 peratus, meminimumkan kelewatan semasa untuk wanita sementara menunggu diagnosis histopatologi,” tulis pasukan penyelidik dalam jurnal Cancers.

Dalam jurnal tersebut, ia berkata bahawa penemuan yang dibentangkan dalam kajian itu boleh digunakan untuk kaedah diagnostik baharu.

Memetik The Guardian, iKnife menggunakan arus elektrik untuk membezakan antara sel kanser dan tisu yang sihat dengan menganalisis asap yang dikeluarkan apabila menjalani biopsi.

Gambar: Imperial College London / Thomas Angus

Para penyelidik berkata bahawa keberkesanannnya dapat dibuktikan menggunakan sampel tisu daripada 150 wanita yang disyaki menghidap kanser rahim dan hasilnya berbeza dengan kaedah diagnosis semasa.

Justeru itu, pasukan tersebut merancang untuk melancarkan percubaan klinikal utama, yang boleh menyebabkan penggunaannya menjadi meluas.

Athena Lamnisos, Ketua Eksekutif badan amal kanser Eve Appeal, yang membiayai penyelidikan itu berkata bahawa menunggu keputusan ujian boleh menyebabkan tekanan, terutamanya jika keputusan ujian itu didapati menghidapi penyakit kanser.

“Kanser rahim sering berlaku selepas menopaus dan keputusan ujian boleh diketahui selepas dua minggu membuat pemeriksaan, tempoh tersebut boleh memberikan tekanan kepada pesakit,” kata Athena.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

Menurutnya, terdapat beberapa sebab berlakunya pendarahan selepas menopaus dan kanser rahim adalah salah satu daripadanya.

Keupayaan untuk menyediakan ujian diagnostik yang mengesan sel kanser dengan tepat boleh membuat perbezaan yang begitu positif, menurut Athena.

“Penyelidikan ini berpotensi untuk mencipta perubahan dalam diagnosis yang lebih cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Alison, 57 tahun dari barat London yang menghidapi kanser rahim pada awal tahun ini berkata bahawa iKnife telah membuat perubahan yang besar dalam hidupnya kerana akhirnya dia bebas daripada kanser tersebut, lapor The Guardian.

Prof Sadaf Ghaem-Maghami, yang mengetuai penyelidikan di Imperial College London berkata mendapatkan diagnosis dalam beberapa saat membolehkan wanita yang disahkan menghidap kanser untuk memulakan rawatan lebih awal.

“iKnife berpotensi untuk merevolusikan cara kami mengurus pesakit di klinik untuk mendiagnosis kanser rahim,” kata Prof Sadaf.

Dengan ketepatan diagnostiknya yang tinggi sebanyak 89 peratus dan nilai ramalan positif sebanyak 94 peratus, seseorang itu boleh segera meyakinkan pesakitnya tentang kemungkinan yang sangat rendah untuk mendapat kanser jika keputusan iKnife adalah negatif dan mempercepatkan ujian serta rawatan susulan untuk individu yang menghidap kanser, menurut Prof Sadaf.

Sumber: The Guardian

The post Penyelidik Dakwa Pisau iKnife Mampu Kesan Kanser Rahim Dalam Masa Singkat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*