Bakar, Cemar Al-Quran Di Rusia Satu Jenayah – Putin

cemar al-quran rusia

Bakar, Cemar Al-Quran Di Rusia Satu Jenayah – Putin

Individu yang bertindak untuk mencemarkan al-Quran akan dikenakan hukuman dan ia dikira jenayah di Rusia, demikian kata Presiden Rusia, Vladimir Putin baru-baru ini.

Lapor media Turki Agensi Anadolu, Putin berkata walaupun beberapa negara tidak melihat perkara itu sebagai jenayah namun ia berlainan di Rusia.

“Di negara kita, ini (mencemarkan) adalah jenayah mengikut Perlembagaan dan kanun keseksaan,” katanya.

Putin berkata demikian ketika bertemu wakil komuniti Muslim di Derbent (di bawah Republik Autonomi Dagestan Persekutuan Rusia) di sebuah masjid bersejarah di wilayah itu.

Perjumpaan itu berlangsung di Masjid Juma semasa komuniti Muslim Derbent menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada Rabu minggu lalu.

Dalam masa sama, pemimpin Rusia itu turut dihadiahkan senaskhah al-Quran, kitab suci umat Islam oleh wakil komuniti Muslim tersebut.

“Al-Quran adalah kitab suci untuk orang Islam dan ia juga perlu suci (mulia) untuk orang lain (agama lain).

“Kami akan sentiasa mematuhi peraturan ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada wakil Muslim berkenaan atas hadiah itu.

Difahamkan, Masjid Juma yang terletak di Derbent dipercayai merupakan masjid terawal yang dibina di Rusia, selain antara yang tertua di dunia.

Pembakaran Al-Quran

Memetik The New Arab, kenyataan Putin dibuat berikutan kontroversi antarabangsa yang dicetuskan oleh pembakaran naskhah al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden baru-baru ini.

Insiden itu dilaporkan dilakukan oleh seorang pelarian Iraq di Sweden, yang didakwa mendapat kelulusan bertulis daripada polis.

Beberapa negara dan pertubuhan Arab telah mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut.

Kerajaan Iraq menyifatkan ia sebagai cerminan semangat agresif mengenai kebencian yang sangat jauh dari kebebasan bersuara.

Manakala Mesir, Kuwait, Jordan, Yaman dan Arab Saudi turut mengeluarkan kenyataan mengutuk insiden pembakaran al-Quran tersebut.

Sementara itu, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memanggil semula duta mereka ke Sweden berhubung insiden berkenaan.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menggesa Kerajaan Sweden untuk segera mengambil tindakan mencegah perbuatan tersebut yang menunjukkan niat jahat, kebencian dan ekstremisme.

Putin juga didakwa pernah terpalit dengan Islamofobia

Walaupun kecamannya terhadap penodaan al-Quran mungkin dilihat sebagai membela Islam, namun Putin sebelum ini didakwa pernah membuat komen Islamofobia dalam beberapa insiden yang menggalakkan keganasan terhadap umat Islam di Chechnya dan Dagestan.

Semasa Perang Chechen Kedua, Putin merujuk kepada umat Islam di Rusia sebagai fundamentalis Islam yang berpotensi menyokong projek radikal Chechnya untuk menubuhkan negara Islam di Caucasus.

Sumber: Anadolu, @jacksonhinklle/Twitter, The New Arab

BACA: “Jodoh Atau Kematian?,” Dua Momen Suka & Duka Dirakam Buat Ramai Insaf

The post Bakar, Cemar Al-Quran Di Rusia Satu Jenayah – Putin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*