Banjir: Peruntukan RM100 juta bantu mangsa di Kelantan, Terengganu

PASIR MAS – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membantu mangsa yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu melibatkan sebanyak RM50 juta bagi mangsa banjir di Kelantan manakala RM50 juta lagi di Terengganu.

Menurutnya, bantuan itu merupakan keperluan segera yang diberikan bagi membantu kebajikan rakyat di kedua-dua negeri itu.

“Sehubungan itu, peruntukan awal sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada semua ketua keluarga yang terlibat di pusat pemindahan sementara (PPS). Bagi mangsa banjir yang terlibat dengan kemalangan (semasa banjir), bantuan sebanyak RM10,000 diberikan kepada mereka.

“Kerajaan lakukan ini (bantuan peruntukan) secara konsisten sama seperti yang kita lakukan terhadap mangsa yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini hari ini.

Menurut Anwar, peruntukan itu akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, keutamaan beliau adalah untuk keperluan rakyat terutamanya mangsa yang terjejas banjir ketika ini.

“Seperti yang kita tahu, mangsa banjir kebiasaannya terdiri daripada kategori miskin. Jadi, kerajaan perlu untuk mengambil langkah-langkah untuk meringankan beban mereka.

“Jadi, saya minta semua sekolah digunakan (untuk dijadikan PPS). Pastikan mereka tidak terkesan (di PPS) maklumlah ramai yang tinggal terutamanya aspek tandas. Justeru, saya minta Kementerian Pendidikan ambil maklum perkara ini,” katanya.

BACA: Bantuan tunai RM300 setiap isi rumah fasa 1 diawalkan – Anwar

Kredit: – KOSMO! ONLINE

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*