Bantuan tunai banjir Terengganu akan disalur bulan depan

KUALA TERENGGANU – Bantuan tunai RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir baru-baru ini akan mula diagihkan pada awal bulan Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, buat masa ini, senarai KIR layak yang telah disahkan oleh pemimpin setempat sedang disaring bagi kelulusan.

Beliau berkata, berdasarkan data awal tersebut, seramai kira-kira 16,000 KIR bakal menerima bantuan kerajaan negeri Terengganu berkenaan.

“Pemberian bantuan RM1,000 ini bagi meringankan beban kewangan mangsa banjir negeri ini setelah mengalami kemusnahan harta benda akibat bencana berkenaan.

“Agihan akan dilakukan secara berperingkat di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini bermula awal bulan Februari nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanafiah berkata, selain bantuan daripada kerajaan negeri Terengganu, setiap KIR terlibat juga bakal mendapat sumbangan daripada kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, ia akan disalurkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan amaun sama iaitu RM1,000 untuk setiap KIR berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di kawasan masing-masing.

“Sehubungan itu, setiap KIR negeri ini yang terjejas banjir akan menerima bantuan tunai keseluruhan sebanyak RM2,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Bantuan tunai banjir Terengganu akan disalur bulan depan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*