Bawa Balik Hadiah, Ayah Tersenyum Lega Tengok Anak Meloncat Gembira, “Hilang Penat Kerja 12 Jam”

Bawa Balik Hadiah, Ayah Tersenyum Lega Tengok Anak Meloncat Gembira, “Hilang Penat Kerja 12 Jam”

Ayah adalah hero pertama bagi anak-anaknya. Mereka digelar sebagai wira keluarga disebabkan kesanggupan mereka untuk berkorban apa sahaja asalkan anak dan isteri sentiasa bahagia.

Antara nikmat menjadi seorang ayah apabila kepulangannya dari tempat kerja disambut senyum tawa anak-anak di muka pintu rumah. Orang kata, semua penat lelah hilang serta merta apabila melihat anak-anak menerpa girang ke arahnya.

Begitu jugalah kisah yang mahu kami kongsikan dengan anda kali ini yang diambil daripada sebuah video yang dimuat naik di Tiktok baru-baru ini.

Menerusi video milik seorang pengguna TikTok, Nurul Ain Jidan (@nurulainjidan), dia berkongsi kisah bagaimana usaha yang ditunjukkan suaminya untuk menggembirakan anak-anak mereka apabila pulang dari kerja.

Difahamkan, suami Ain telah membeli mainan-mainan untuk dihadiahkan kepada buah hati penyeri hidup mereka berdua itu.

Menerusi kapsyen yang terdapat dalam video tersebut, Ain berkata suaminya tidak pernah melupai anak-anaknya di rumah walaupun penat bekerja selama 12 jam setiap hari. Walaupun keletihan kerana terpaksa menempuh jarak kira-kira 40 kilometer antara rumah dengan tempat kerja, si ayah tetap sempat meluangkan masa untuk mencari mainan-mainan tersebut.

Kredit: TikTok

Namun begitu, apa yang membuatkan netizen terharu apabila mengetahui si ayah memegang hadiah tersebut dan menunggang motorsikal dengan sebelah tangan di sepanjang jalan menuju ke rumah. Ini kerana, mainan-mainan itu diisi di dalam kotak yang besar dan tidak muat untuk disimpan sama ada di dalam raga mahupun di kotak simpanan motorsikal.

Mengambil kira jarak perjalanan yang dianggap jauh untuk seorang penunggang yang berulang-alik setiap hari, sudah pasti sang suami merasa lenguh di tangannya. Apatah lagi, ketika itu dia baharu sahaja menamatkan jam bekerja yang menyamai separuh hari.

Ketika tiba di pintu rumah pada waktu malam, anak-anak kepada pasangan suami isteri itu begitu teruja apabila melihat kotak mainan yang dibawa oleh ayah mereka.

Detik-detik itu memang tidak dapat digambarkan dan jauh sekali untuk diungkapkan dengan kata-kata. Kegembiraan yang ditunjukkan oleh adik-beradik ini jelas kelihatan apabila mereka segera membuka kotak hadiah tersebut betul-betul di hadapan pintu rumah.

Kredit: TikTok

Menurut Ain, rasa penat kerja 12 jam yang ditanggung suaminya hilang begitu sahaja selepas melihat reaksi gembira daripada anak-anak.

“Tapi bila tengok anak-anak happy macam ni, mesti abang tak rasa letih, penat tu kan…?,” kata Ain.

Ain turut mengakui bahawa suaminya merupakan seorang ayah dan ketua yang selalu mendahulukan keluarganya dalam setiap perkara.

Wanita itu seterusnya turut berkongsi keletah anak-anaknya menampal lubang-lubang pada seluar yang dipakai suaminya dengan pelekat.

”Anak-anak tampal seluar papa dia yang berlubang. Selalu ketepikan kehendak sendiri,” kata Ain lagi.

Kredit: TikTok

Menerusi kisah ini, selain daripada kekuatan nilai kasih sayang seorang bapa atau ibu kepada anak-anak, pelajaran yang kita dapat kutip adalah setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam melengkapi hidup antara satu sama dan menjadikan institusi kekeluargaan yang dibina menjadi sempurna, walaupun hidup sederhana.

@nurulainjidan

Jasa & pengorbananmu tidak terhitung… Terima kasih untuk segalanya ❤

♬ Tak Kan Hilang by Budi Doremi – Kopi Rona

BACA: Hilang Penat Balik Kerja, Ayah Tersenyum Tengok Anak Teruja “Unboxing” Hadiah Mainan

Sumber: @nurulainjidan via TikTok

The post Bawa Balik Hadiah, Ayah Tersenyum Lega Tengok Anak Meloncat Gembira, “Hilang Penat Kerja 12 Jam” appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*