Bekas pemain Real Madrid bintang import baharu JDT

Kuala Lumpur: Nama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘mendonia’ di peringkat antarabangsa susulan perpindahan Jese Rodriguez ke skuad Harimau Selatan.

Bekas pemain Real Madrid yang pernah beraksi bersama beberapa bintang dunia termasuk Cristiano Ronaldo itu diumumkan sebagai bintang import baharu skuad kendalian Hector Bidoglio, semalam.

Berita perpindahan penyerang berusia 31 tahun itu mendapat perhatian wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano, yang turut melaporkan status bintang itu selain media antarabangsa yang lain termasuk Marca, Diario Sport dan Record.

Rodriguez menerusi laman Instagram mengakui tidak sabar untuk mencipta kejayaan bersama JDT dan berterima kasih atas kepercayaan diberikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab itu.

“Amat gembira dengan peluang baru dalam bola sepak yang diberikan kepada saya. Hari ini saya memulakan pengembaraan baru saya di kelab terbaik JDT.

“Saya yakin bahawa kami akan mencapai banyak kejayaan bersama, tidak sabar untuk memulakannya,” katanya.

Mengikut rekod, Rodriguez pernah beraksi bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2016 dengan meledak 13 gol daripada 63 penampilan.

Dia juga pernah menyertai gergasi Perancis, Paris Saints Germain (PSG), Stoke City, Real Betis, Sampdoria dan pasukan terakhirnya adalah kelab Brazil, Coritiba.

Pemain itu bakal menjadi taruhan buat JDT dalam mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

sumber: HM

Harimau Selatan mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam dua aksi awal ACLE selepas terikat 2-2 dengan Shanghai Port FC di gelanggang lawan sebelum mengatasi Shanghai Shenhua FC 3-0 di tempat sendiri.