Bos pakaian dalam Korea Selatan diberkas di Thailand

BANGKOK – Bekas pengerusi syarikat pengeluar pakaian dalam dari Korea Selatan, SBW Group yang selama ini hidup sebagai orang buruan akhirnya ditahan kelmarin di Thailand, lapan bulan selepas dia meninggalkan negara asalnya, lapor akhbar JoongAng Daily.

Kim Seong-tae, 55, bersama-sama Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SBW Group, Yang Seon-gil, diberkas di sebuah padang golf di Pathum Thani, utara Bangkok.

Kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri dari Korea Selatan selepas mendapat maklumat bahawa Pejabat Pendakwa Raya Suwon sedang mendapatkan waran tangkap ke atas mereka kerana melanggar Akta Pasaran Modal dan melakukan penyelewengan.

Seong-tae dituduh menyeludup sejumlah besar wang tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat ke China menggunakan beberapa beg pakaian yang diserahkan kepada pegawai-pegawai Korea Utara.

Pengerusi de facto itu yang meletak jawatan pada 2021 turut berdepan banyak pertuduhan rasuah termasuk melibatkan Pengerusi Parti Demokrat, Lee Jae-myung.

Dia dilaporkan membayar yuran guaman Jae-myung menggunakan dana syarikat ketika pemimpin tersebut didakwa kerana melanggar undang-undang pilihan raya pada 2018, semasa menjadi gabenor Gyeonggi.

Jae-myung bebas daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Agung pada 2021. – Agensi 

The post Bos pakaian dalam Korea Selatan diberkas di Thailand appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*