Bukan Atlantis Je, Ini Lima Lagi Bandar Tenggelam Di Dunia

bandar tenggelam dunia

Bukan Atlantis Je, Ini Lima Lagi Bandar Tenggelam Di Dunia

Lebih pada 2,000 tahun, bandar yang dikenali sebagai the lost city of Atlantis itu telah mengujakan para pemburu harta karun.

Namun, tidak kiralah berapa banyak teori dan berapa dekad pencarian bandar itu dilakukan, Atlantis kekal menjadi bandar yang hilang dan terus menjadi sebuah mitos.

Legenda mengenai Atlantis ini sebenarnya disebut dalam sebuah penulisan seorang ahli falsafah Greek iaitu Plato kira-kira 360 sebelum masihi.

Dalam penulisannya, Plato menyatakan bahawa terdapat sebuah tamadun yang sangat maju yang telah tenggelam ke dasar laut akibat gempa bumi dan banjir yang teruk.

Namun, ia mengambil masa sehingga mencecah abad ke-19 untuk orang ramai mula membuat spekulasi bahawa terdapat kebenaran dalam penulisan Plato itu.

Pada tahun 1882, seorang penulis dan ahli politik Amerika iaitu Ignatius Donnelly, telah menerbitkan buku Atlantis: The Antedeluvian World yang menyatakan Atlantis merupakan sebuah benua yang dimusnahkan oleh banjir.

Sejak itu, terdapat pelbagai teori mengenai Atlantis dan menyatakan bahawa ia berada di merata tempat seperti di Antartika dan Segi Tiga Bermuda.

Tetapi, ahli arkeologi telah menjumpai bandar tenggelam yang sebenar di serata dunia. Dari bandar ‘disumpah’ di Jerman, hinggalah piramid dalam air yang misteri di Jepun.

Thonis Heracleion, Mesir

Gambar via The Guardian

Ahli arkeologi telah menjumpai peninggalan bandar yang megah pada suatu ketika dahulu di perairan Alexandria.

Dulunya, Thonis Heracleion ini merupakan sebuah pintu masuk Mesir Purba ke Mediterania yang merupakan sebuah bandar pelabuhan yang dibina di atas pulau-pulau dan tanah paya.

Ia mempunyai persamaan seperti bandar Atlantis kerana bandar ini telah dibina sekitar 27,000 tahun yang lalu dan telah tenggelam akibat gempa bumi.

Pada tahun 2000 sekumpulan penyelam telah menemui beberapa artifak yang tenggelam dan perkara itu telah menyedarkan para penyelidik bahawa bandar itu telah tersembunyi berdekatan dengan mereka selama beribu-ribu tahun.

Rungholt, Jerman

Gambar via Daily Mail

Sebelum ini, bandar Rungholt merupakan sebuah hab di Lautan Utara dan menjadi tempat tinggal kepada 3,000 orang penduduk.

Tetapi, selama beberapa abad kebanyakan penyelidik menganggap bahawa bandar Rungholt itu hanyalah sebuah kisah teladan sahaja.

Menurut legenda, bandar itu telah disumpah sebagai hukuman kerana melakukan pesta untuk bersuka ria dan kemudian bandar itu dilanda banjir besar hingga musnah.

Selain itu, legenda mengenai bandar itu turut menyatakan bahawa penduduk di situ telah membuatkan seekor khinzir menjadi mabuk dan telah memaksa seorang paderi untuk memberikan khinzir itu upacara terakhirnya.

Namun, ahli arkeologi kini mengetahui bahawa terdapat kebenaran berdasarkan legenda itu.

Pada tahun 1362, sebuah ribut yang amat kencang telah melanda kawasan tersebut.

Keadaan itu telah menyebabkan bandar itu ditelenggami air dan menjadi sebuah bandar yang ditinggalkan selain tertimbus sedalam 40 meter di bawah tanah lumpur di pantai Jerman selama 600 tahun.

Kini, pakar menggunakan kaedah magnetik untuk melihat susun atur bandar itu. Mereka juga telah menemui peninggalan gereja utama bandar itu.

Pavlopetri, Greece

Gambar via Secret Greece

Walaupun kebanyakan orang tahu bahawa kisah Atlantis oleh Plato itu adalah sebuah mitos, namun ada juga yang beranggapan kisah itu merujuk kepada tamadun Minoan.

Mereka yang hidup pada zaman purba itu telah memerintah Greece kira-kira pada tahun 3000 hingga 1100 sebelum masihi.

Bandar Pavlopetri ini merupakan sebuah bandar tenggelam di Laconia Selatan dan juga adalah sebuah peninggalan sebuah Empayar di Zaman Gangsa.

Ia dikatakan dibina kira-kira 5,000 tahun yang lalu sekitar 2800 sebelum masihi dan menempatkan kira-kira 2,000 penduduk.

Monumen Yonaguni, Jepun

Gambar via Wikipedia

Pada tahun 1987, seorang penyelam tempatan, Kihachiro Aratake, terkejut apabila dia telah menemui sebuah piramid di dasar lautan Kepulauan Ryukyu, Jepun.

Penyelam itu telah menjumpai 165 kali 65 kaki (50 kali 20 meter) bangunan tangga batu.

Pakar mempercayai bahawa piramid bertingkat itu berumur 10,000 tahun dan sebelum ini ia dikatakan sebagai Atlantis Jepun.

Port Royal, Jamaica

Gambar via Wikipedia

Sementara itu, Port Royal di Jamaica dikatakan telah mengalami bencananya kurang daripada 400 tahun yang lalu. Pada masa kini, ia merupakan Lapangan Terbang Norman Manley.

Tetapi sebelum ini, tempat tersebut merupakan hab bagi kumpulan lanun yang terkenal dengan minum keras, pelacuran dan keganasan.

Ia menjadikan tempat itu sebagai sebuah tempat yang paling teruk di dunia. Ia kemudiannya dilanda gempa bumi yang teruk pada tahun 1692.

Gempa itu telah membuatkan 33 ekar kawasan itu tenggelam dan telah meragut nyawa 2,000 penduduk di situ.

Baiae, Itali

Gambar via The Guardian

Sebelum bandar ini ditelan zaman, pada 2,000 tahun yang lalu, ia dikatakan sebagai banda Las Vegas bagi Itali.

Ia merupakan sebuah bandar di mana golongan elit akan pergi ke pesta yang sering diadakan untuk mereka berehat.

Pada zaman dahulu, ia juga terkenal dengan kolam air panas dan spa yang dikatakan boleh merawat segala penyakit. Tetapi, pergerakan seismik yang menjana kolam air panas itu telah menjadi punca bandar itu tenggelam di dasar Teluk Naples.

Para penyelidik telah menemukan mozek dan patung marmar yang berada di dasar laut itu. Bagaimanapun kini ia telah menjadi kawasan terpelihara kerana merupakan sumber utama untuk mendapatkan informasi mengenai Empayar Roman.

Sumber: Daily Mail Online

BACA JUGA: ‘Bismillah’ Dalam Mechamato Movie Bahasa Jepun Ditukar, Ini Kata CEO

The post Bukan Atlantis Je, Ini Lima Lagi Bandar Tenggelam Di Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*