CEO Walt Disney Arah Pekerja Masuk Semula Ke Pejabat Mulai Awal Mac

Ketua Pegawai Eksekutif studio animasi Walt Disney, Bob Iger telah mengarahkan supaya pekerja syarikatnya kembali semula ke pejabat selama empat hari seminggu mulai awal Mac.

Memetik laporan CNN, pengumuman yang dihantar melalui e-mel pekerja itu dibuat dua bulan selepas beliau kembali mengetuai syarikat Disney setelah berehat seketika.

Menerusi e-mel tersebut, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dan perbincangan bersemuka adalah kunci kepada perniagaan.

“Memandangkan saya telah bertemu dengan pasukan di seluruh syarikat sejak beberapa bulan yang lalu, saya telah diingatkan tentang nilai yang luar biasa untuk bersama dengan orang yang bekerja dengan saya.

“Dalam perniagaan kreatif seperti syarikat kami, tiada apa yang dapat menggantikan keupayaan untuk mencipta, memerhati dan berhubung dengan rakan sebaya yang datang bersama secara fizikal selain mengembangkan peluang secara profesional dengan belajar daripada pemimpin dan mentor.

“Saya percaya bahawa bekerja bersama dengan lebih banyak secara peribadi akan memberi manfaat kepada kreativiti, budaya dan kerjaya pekerja kami,” kata Iger dalam memo berkenaan.

Beliau turut menambah bahawa pekerja perlu berada di pejabat setiap hari Isnin sehingga Khamis.

Difahamkan, sebelum ini Bob Iger pernah mengetuai syarikat Disney selama 15 tahun, namun dia dipercayai kembali semula ke Disney pada November 2022 setelah menggantikan Bob Chapek yang mengambil alih jawatan sebagai ketua eksekutif pada Februari 2020.

Ekoran itu, lembaga syarikat telah meminta supaya beliau mengurus kembali syarikat Disney apabila syarikat tersebut melalui tempoh yang sukar selepas harga saham menjunam dan perkhidmatan penstriman Disney+ mengalami kerugian.

Dalam pada itu, kebanyakan syarikat lain juga telah menguatkuasakan perintah kembali semula ke pejabat selepas pandemik Covid-19 beransur pulih.

Sebagai contoh, syarikat Apple telah meminta supaya pekerja berada di pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, namun pengumuman tersebut telah mencetuskan ketegangan dengan beberapa kakitangan syarikatnya.

Selain itu, baru-baru ini syarikat Snapchat juga telah meminta pekerja untuk kembali ke pejabat selama empat hari seminggu bermula bulan Februari.

Bagaimanapun, pada September 2022 pemilik Amazon, Andy Jassy berkata bahawa dia tidak akan memaksa pekerja syarikatnya kembali ke pejabat dalam masa terdekat kerana dia belum mempunyai rancangan untuk meminta supaya pekerjanya bekerja di pejabat.

Sumber: CNN, BBC

The post CEO Walt Disney Arah Pekerja Masuk Semula Ke Pejabat Mulai Awal Mac appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*