Polis Rampas 528 Kg Dadah Bernilai RM19 Juta Di Padang Besar

rampas dadah padang besar

Polis Rampas 528 Kg Dadah Bernilai RM19 Juta Di Padang Besar

KANGAR, 15 Jan (Bernama) — Polis merampas 528 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM19 juta yang ditemukan di dalam kawasan Hutan Simpan Persekutuan di Padang Besar pada 10 Jan lepas, disifatkan sebagai rampasan dadah terbesar di Perlis setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata rampasan itu hasil soal siasat terhadap seorang lelaki berumur 35 tahun yang ditahan pada hari sama.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di lokasi terbabit, pihaknya menemukan 20 guni berjahit yang didalamnya mengandungi 480 bungkusan plastik teh cina yang diletakkan di dalam troli besi ditutupi ranting dan daun.

“Hasil serbuan yang dilancarkan ini telah berjaya merampas dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 528 kg bernilai RM19 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang turut dihadiri Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.

Mohd Kamarudin berkata tangkapan dan rampasan itu membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki berumur antara 21 hingga 42 tahun pada tarikh sama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disyaki penyeludupan dadah itu.

BACA: Dadah Bernilai RM400,000 Dirampas, Warga Indonesia Ditahan

“Modus operandi yang digunakan suspek terbabit adalah dengan menggunakan lorong tikus di kawasan Hutan Simpan Persekutuan ini dan kita percaya mereka membawa bungkusan ini sedikit demi sedikit untuk dikumpulkan sebelum diedarkan ke tempat lain.

“Kita percaya mereka aktif menjalankan kegiatan ini sejak tahun lepas … kita dapati mereka (dipercayai) telah beberapa kali terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah,” katanya dan menambah tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita aset antaranya empat kenderaan dan tujuh motosikal dianggarkan bernilai RM515,545.

Beliau berkata jarak kawasan penemuan dadah yang boleh digunakan sebanyak 2.6 juta penagih itu dari jalan besar adalah kira-kira dua kilometer, manakala jarak ke sempadan dianggarkan tiga kilometer.

Mohd Kamarudin berkata kesemua suspek yang bekerja sendiri itu direman tujuh hari masing-masing bermula 10 dan 11 Jan lepas serta hasil saringan awal mendapati dua daripada suspek itu masing-masing positif dadah ketamine dan methamphetamine.

“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki-baki lagi individu lain yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Sumber: Bernama

The post Polis Rampas 528 Kg Dadah Bernilai RM19 Juta Di Padang Besar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*