Croatia Kini Rasmi Guna Mata Wang Euro

Croatia Kini Rasmi Guna Mata Wang Euro

Negara Croatia secara rasminya telah menjadi negara ke-20 yang menyertai Zon Euro dan secara langsung bakal menggunakan mata wang euro, menggantikan mata wang lama iaitu kuna.

Memetik laporan CNN, wang kertas dan syiling euro kini mula diedarkan di negara berkenaan, malah kira-kira 70 peratus mesin ATM di negara itu sudah mengagihkan euro.

Bagaimanapun, mata wang kuna masih boleh digunakan sehingga 15 Januari.

Pun begitu, sesiapa yang membuat pembayaran menggunakan kuna, mereka tetap akan menerima pertukaran baki dalam euro.

Menurut Presiden Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde, beliau mengalu-alukan kedatangan Croatia ke dalam keluarga euro dan ke meja Majlis Tadbir ECB di Frankfurt.

“Croatia telah bekerja keras untuk menjadi ahli ke-20 kawasan euro, dan ia berjaya. Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Croatia,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Bank Pusat Negara Croatia kini menjadi ahli Eurosystem iaitu sistem perbankan pusat kawasan euro dimana ia terdiri daripada Bank Pusat Eropah dan Bank Pusat Negara-Negara Anggota Euro.

Selain menukar mata wang, Croatia turut dilaporkan menyertai kawasan Schengen iaitu kawasan yang terdiri daripada 27 negara Eropah yang secara rasmi telah memansuhkan pemeriksaan sempadan di Eropah, menjadikannya kawasan bebas sempadan terbesar di dunia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenković berkata keahlian Schengen merupakan perkara yang sangat bermakna bagi Croatia sebagai negara pelancongan.

“Kami adalah negara pertama yang memasuki kawasan Schengen dan Zon Euro pada hari yang sama.

“Dengan pengenalan euro, rakyat dan ekonomi di negara ini akan lebih dilindungi daripada krisis,” jelasnya.

Kemasukan Croatia ke dalam kawasan Schengen juga dijangka akan meningkatkan industri pelancongan, yang telah menyumbang 20 peratus daripada nilai KDNK negara berkenaan.

Malah, pakar turut berkata peralihan kepada mata wang Eropah tersebut akan membantu melindungi ekonomi Croatia apabila berlaku inflasi di seluruh dunia.

Euro telah dilancarkan pada 1 Januari 1999 sebagai mata wang elektronik bagi kira-kira 300 juta orang di 12 negara anggota. Dengan penambahan Croatia, kini terdapat 20 negara di bawah zon euro.

Sumber: CNN, BBC

The post Croatia Kini Rasmi Guna Mata Wang Euro appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*