Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok

Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Rang undang-undang yang mengandungi Fasal 1 hingga 54 itu dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa, sebelum dibentang untuk bacaan kali kedua semalam dan dibahas 27 Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Dr Zaliha menzahirkan ucapan penghargaan kepada empat bekas Menteri Kesihatan kerajaan terdahulu yang telah berusaha dalam menangani isu merokok selain memperjuangkan rang undang-undang berkaitan rokok.

BACA: Rang Undang-undang Kawalan Produk Rokok Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada menteri kesihatan sebelum ini, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin.

“Terima kasih atas usaha yang dicurahkan dalam usaha tangani isu merokok secara amnya dan khususnya dalam membangunkan rang undang-undang yang telah kita (Dewan Rakyat) luluskan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 bagi meminda Akta Makanan 1983, selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Sumber: BERNAMA

The post Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*