Dipanggil Ke Bank, Baru Tunggu 5 Minit Dah Dapat Sejumlah Duit, Ini Sebenarnya Yang Berlaku

sumbangan tunai rahmah str fasa 2

Apa rasanya apabila tiba-tiba nama kena ‘petik’ dan disuruh ke cawangan Bank berdekatan pada tarikh-tarikh sekian? Mungkin ada yang fikir dapat duit, mungkin ada juga yang fikirkan tentang apakah perlu membayar apa-apa denda atau tuntutan.

Tapi lain pula situasinya di Bank Simpanan Nasional Cawangan Kajang pada Rabu lepas, penama-penama yang hadir tak henti-henti tersenyum kerana mereka memperolehi sejumlah wang yang sememangnya hak mereka. Lebih manis, mereka tidak perlu menunggu lama di situ untuk memperolehi wang mereka.

Tapi apa sebenarnya yang berlaku?

Sebenarnya mereka yang dipanggil adalah golongan yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, dan tujuan mereka ke BSN Kajang adalah untuk proses penunaian STR.

Rabu lalu, pihak Siakap Keli telah membuat tinjauan di salah satu cawangan BSN yang bertempat di Kajang. Sesi ini adalah untuk penerima STR 2 yang menggunakan kaedah penunaian pada kaunter bank.

Berdasarkan tinjauan, proses penunaian di kaunter BSN hanya mengambil masa yang sekejap, iaitu sekitar lima ke sepuluh minit sahaja.

Kehadirannya menjelang Syawal, STR 2 bagai Cahaya Aidilfitri Bagi Penerima

sumbangan tunai rahmah str fasa 2

Memandangkan pemberian STR 2 ini dilakukan ketika menjelang bulan Syawal, sumbangan ini diibaratkan sinar, khususnya bagi penerima beragama Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangkakan pada 22 April 2023.

“Dengan bantuan ini, dapatlah saya membeli barangan dapur serta persiapan hari raya. Jadi saya mengucapkan terima kasih terhadap Kerajaan,” kata Mohd Hamidi Ahmad (63) ketika ditemubual pihak media.

Hamidi yang merupakan seorang pesara kini sedang menanggung seorang isteri dan seorang anak bongsu yang masih belajar. Jelasnya, mereka memerlukan sekitar RM800 sebulan untuk menanggung keperluan seharian, oleh itu pemberian STR sebanyak RM200 itu dapat membantunya dalam  meringankan beban mereka.

Selain warga emas, golongan bujang juga tidak terkecuali daripada menerima manfaat daripada STR Fasa 2. 

Bagi Najib (40), sumbangan itu dapat membantunya membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih baik dan bermakna. Dia yang bekerja sendiri tinggal bersama ibunya yang berusia 79 tahun perlu mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Najib turut berpendapat bahawa bantuan ini wajar diteruskan pada masa hadapan kerana ia dapat memberikan sedikit ruang dan kemudahan bagi golongan yang memerlukan.

Salah seorang penerima, Muniamal A/P Munisamy (46) turut menyokong inisiatif ini dan menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mengemaskini maklumat pada laman LHDN agar tidak terlepas.

“Bagi yang tidak dapat, boleh kemaskini maklumat (di laman LHDN),” ujarnya.

Difahamkan, wanita tersebut memakai alat pendengaran pada telinga kanan dan peralatan tersebut memiliki kos yang tinggi serta memerlukan servis secara berkala dari sudut penukaran bateri, penyerapan lembapan dan lain-lain lagi.

sumbangan tunai rahmah str fasa 2

Oleh sebab itu, Muniamal perlu berjumpa ahli audiologi bagi memastikan alat pendengaran dapat berfungsi dengan baik serta tidak mengalami apa-apa masalah. Beliau masih berkerja sebagai seorang operator di sebuah kilang manakala, suaminya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan bank.

Kata Muniamal, wang daripada STR Fasa 2 akan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan seperti barang dapur dan sebagainya.

Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

Penerima STR yang tiada akaun bank boleh membuat penunaian di seluruh Cawangan BSN mulai 5 April. Sementara itu, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang tiada akses perbankan boleh melakukan penunaian melalui Cawangan Bank Bergerak BSN.

Pembayaran STR Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.

Semak status permohonan

Bagi sesiapa yang masih belum mengetahui status anda, sama ada penerima bayaran STR Fasa 2 atau sebaliknya, anda boleh melakukan semakan bayaran bermula 5 April melalui pelbagai platform.

Antaranya, menerusi Portal Rasmi Sumbangan Tunai Rahmah LHDNM pada pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my dengan memilih menu Log Masuk MySTR >

Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Semakan Sumbangan Tunai Rahmah dengan memuat turun di Play Store atau App Store pada telefon pintar masing-masing.

Selain itu, anda juga menghubungi nombor telefon tertera atau berkunjung ke premis LHDNM yang berhampiran dengan kediaman anda.

  • LHDNM: 1-800-88-2747 (waktu operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang)
  • MOF: 03-8882 4565 / 4566 (waktu operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang)

Khusus bagi bulan Ramadan, waktu operasi LHDNM adalah bermula dari 9.00 pagi sehingga 4.30 petang.

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan-bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/

The post Dipanggil Ke Bank, Baru Tunggu 5 Minit Dah Dapat Sejumlah Duit, Ini Sebenarnya Yang Berlaku appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*