Diskaun Bayaran Balik PTPTN Diteruskan, Antara 10 & 15 Peratus

Belanjawan 2024: Diskaun Bayaran Balik PTPTN Bermula 14 Oktober

Diskaun Bayaran Balik PTPTN Diteruskan, Antara 10 & 15 Peratus

Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini.

Menurutnya, diskaun berkenaan diberikan kepada peminjam bermula 14 Oktober sehingga 31 Mac 2024. Dalam pembentangan berkenaan, beliau mengumumkan tiga bentuk diskaun yang diberikan.

“Pertama, diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

“Ketiga,  diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya.

Anwar tidak mahu mana-mana mahasiswa ketinggalan peluang untuk melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyentuh isu kebajikan pelajar di universiti terutamanya melibatkan isu pembayaran yuran pendaftaran.

“Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan.”

Bagi memastikan pendidikan peringkat tertiari dapat diakses semua pihak, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.

“Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.”

Bagi pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian, mereka tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester.

Manakala, bayaran yuran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. Anwar berkata, pihak universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar dalam melaksanakan peraturan berkenaan pembayaran yuran pengajian.

“Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.”

BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?

Sumber: Siaran Langsung Astro Awani

The post Diskaun Bayaran Balik PTPTN Diteruskan, Antara 10 & 15 Peratus appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*