Dua Pegawai Bertugas Di Bangladesh Ditahan SPRM Adalah Pegawai Jabatan Imigresen

pegawai bangladesh imigresen

Dua Pegawai Bertugas Di Bangladesh Ditahan SPRM Adalah Pegawai Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) — Kementerian Luar mengesahkan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh, yang ditahan kerana disyaki menerima rasuah, merupakan pegawai Jabatan Imigresen.

Wisma Putra menerusi ciapan di Twitter hari ini memaklumkan kedua-dua pegawai lelaki dan wanita itu sebelum ini ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase di suruhanjaya tinggi berkenaan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan kementerian ini akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dalam penyiasatan berhubung kes tersebut, selari dengan hasrat dan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras gejala rasuah,” menurut ciapan itu.

Ciapan itu dimuat naik bagi menjelaskan laporan media berhubung SPRM menahan reman dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Kementerian Luar sentiasa memberi perhatian utama kepada aspek integriti dalam kalangan kakitangan awam di kementerian itu dan yang bertugas di perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.

Terdahulu, media melaporkan dua pegawai agensi penguat kuasa itu ditahan pada 17 April lepas sebaik hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan direman tiga hari bermula 18 April.

Menurut sumber penahanan dua pegawai itu berikutan SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka telah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tangkapan lain akan dibuat selepas ini.

BACA: Serah Kepada SPRM Untuk Siasat – PM Anwar

Selepas beku, SPRM sita dua akaun bank bersatu

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menyita dua akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas membekukannya pada Januari lepas.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

Sumber: BERNAMA

The post Dua Pegawai Bertugas Di Bangladesh Ditahan SPRM Adalah Pegawai Jabatan Imigresen appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*