Duta Besar China Ke Malaysia Serah Sumbangan RM100,000 Bagi Tabung Musaadah JAWI 2023

Kuala Lumpur, 11 Julai 2023 – Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing, telah menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM 100,000.00 kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai sumbangan simbolik kepada Tabung Musaadah JAWI untuk tahun 2023.

Sumbangan itu telah diserahkan dalam satu pertemuan bagi membincangkan kerjasama strategik antara Kedutaan China dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank (JFB). Inisiatif ini adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan rentan seperti asnaf, gelandangan, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang memerlukan, terutamanya di Wilayah Persekutuan dan secara keseluruhannya di Malaysia.

Ia dijangka dapat memberi manfaat kepada penerima dari pelbagai golongan masyarakat termasuk petugas kesihatan dan keselamatan, golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas, OKU, serta gelandangan dan golongan bukan Islam.

Acara yang turut dihadiri oleh Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI ini juga membincangkan tentang cadangan memperluas jaringan kerjasama dalam program bantuan kepada mangsa bencana dan musibah seperti kebakaran dan banjir.

Selain itu, pihak kedutaan juga dijemput untuk menarik lebih banyak pelancong China ke Malaysia agar dapat mengunjungi masjid-masjid, terutamanya di sekitar Wilayah Persekutuan, sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan budaya persefahaman dan keharmonian merentasi sempadan kepercayaan.

Inisiatif yang dijalankan melalui kerjasama strategik ini selaras dengan teras Kesejahteraan Insan yang terkandung dalam agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah). Program bantuan ini juga dapat menyuburkan sifat rahmah, ihsan, dan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan golongan yang memerlukan, selaras dengan tekad kepemimpinan negara untuk merapatkan jurang masyarakat.

Sumbangan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada Tabung Musaadah JAWI ini merupakan kali kelima sejak tahun 2020, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 600,000.00.

Hingga kini, JAWI Food Bank (JFB), dengan kerjasama rakan strategik, telah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan tepung dengan nilai sebanyak RM 6.05 juta. Bantuan ini telah memberikan manfaat kepada 296,946 orang penerima yang memerlukan, terutamanya semenjak pandemik Covid-19 melanda negara.

Bantuan ini disediakan di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur dan tersedia melalui perkhidmatan ‘walk-in’ serta penghantaran terus kepada penerima. Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI juga telah melaksanakan program bantuan kemanusiaan melalui Tabung Musaadah kepada golongan yang terkena bencana alam, seperti banjir di dalam negara.

The post Duta Besar China Ke Malaysia Serah Sumbangan RM100,000 Bagi Tabung Musaadah JAWI 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*