Ecuador Isytihar Darurat, Beri Kuasa Sepenuhnya Kepada Askar Buat Operasi

Ecuador isytihar darurat

Ecuador Isytihar Darurat, Beri Kuasa Sepenuhnya Kepada Askar Buat Operasi

Ecuador mengisytiharkan darurat pada Isnin selepas seorang penjenayah dan ketua kartel dadah berbahaya negara itu berjaya melarikan diri daripada kawalan ketat penjara.

Memetik AFP, Presiden Daniel Noboa, mengarahkan pasukan tentera mengambil alih operasi di tempat awam dan penjara selama 60 hari bagi memburu Jose Adolfo Macias atau Fito.

Menerusi video muat naik di Instagram, beliau menegaskan pengisytiharan darurat itu memberikan pasukan tentera “sokongan politik dan undang-undang” sepenuhnya sepanjang tempoh berkenaan.

Ia bertujuan untuk memudahkan pasukan itu menjalankan tugas mereka memerangi apa yang disifatkan sebagai pengganas narkotik.

“Kami tidak akan berunding dengan pengganas atau berehat sehingga kami mengembalikan keamanan kepada semua warga Ecuador,” kata Noboa.

Ecuador isytihar darurat, perangi pengganas narkotik

Perintah berkurung juga dilaksanakan dengan orang awam tidak dibenar keluar dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi setiap hari.

Difahamkan, situasi bergolak di negara itu terus meruncing dengan kumpulan penjenayah bersenjata mula keluar di tempat-tempat awam.

Ahad lepas, Fito yang merupakan Ketua Kumpulan Los Choneros didapati hilang semasa polis sedang menjalankan pemeriksaan penjara di bandar pelabuhan di Guayaquil.

Sebelum itu, suspek dilapor melakukan jenayah kekerasan terhadap beberapa banduan lain dipenjara itu. Dia kemudian dilaporkan melarikan diri sebelum polis tiba di penjara berkenaan.

Menurut jurucakap Presiden, Roberto Izurieta, Fito mungkin sudah mendapat maklumat lebih awal berkenaan kehadiran polis.

Izurieta turut menyifatkan bahawa Fito adalah seorang penjenayah yang sangat berbahaya dan terlibat dalam kegiatan keganasan.

Sementara itu, pejabat pendakwa raya berkata bahawa mereka telah membuka siasatan dan memfailkan pertuduhan terhadap dua pegawai penjara yang didakwa membantu Fito melarikan diri.

Sedang menjalani hukuman penjara 34 tahun

Menurut AFP, Fito sedang menjalani hukuman penjara selama 34 tahun selepas didapati bersalah terlibat dalam jenayah terancang seperti pengedaran dadah dan pembunuhan sejak 2011.

Sebagai rekod, Fito pernah melarikan diri dari penjara pada 2013 sebelum ditahan semula tiga bulan kemudian.

Fito kemudian dipindahkan ke penjara dengan kawalan maksimum pada Ogos 2023 selepas kejadian pembunuhan calon Presiden, Fernando Villavicencio. Operasi memindahkan Fito turut melibatkan ribuan anggota keselamatan.

Seminggu sebelum kematiannya, Villavicencio yang terkenal sebagai ahli politik anti-kartel dadah mendakwa menerima ancaman bunuh daripada Fito.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: AFP

The post Ecuador Isytihar Darurat, Beri Kuasa Sepenuhnya Kepada Askar Buat Operasi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*