Edisi Kedua L’Étape Johor Berlangsung Gilang-Gemilang Di Desaru Coast

Karnival meriah selama dua hari itu turut menampilkan cabutan bertuah, dua konsert dan pertandingan ‘pushbike’ untuk kanak-kanak

Pemenang Pingat Emas Lumba Dayung Berpasukan Lelaki Olimpik 2012 Matthew Brittain dinobatkan juara keseluruhan L’Étape Johor selepas mempamerkan aksi dominan

DESARU, 8 Julai – Seperti yang dijangka, edisi kedua L’Étape Johor oleh Tour de France dan dipersembahkan oleh Majestic Johor telah berlangsung dengan gilang-gemilang pada hujung minggu lalu di Desaru Coast. Acara berbasikal berprestij ini telah menarik penyertaan lebih daripada 3,600 peserta dan meninggalkan seribu satu kenangan manis buat mereka di bandar peranginan persisiran pantai yang serba indah itu.

Digelar sebagai “Acara Berbasikal Amatur Terulung di Dunia”, L’Étape sememangnya menjadi tumpuan buat penggemar sukan berbasikal dari seluruh dunia. Buktinya, L’Étape Johor telah menghimpunkan pengayuh-pengayuh dari 47 buah negara di Desaru Coast, di mana mereka berkesempatan untuk berlumba ibarat seorang pelumba Tour De France.

L’Étape Johor turut dimeriahkan dengan pelbagai acara festival yang pastinya memberikan para pesertanya lebih daripada kepuasan berlumba semata-mata.

Ini termasuk pameran memorabilia oleh Tour de France, pertunjukkan ala Perancis, pertandingan ‘pushbike’ untuk kanak-kanak, pertunjukkan awam, pelancaran produk baharu, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

Aktiviti-aktiviti tersebut hanya merupakan sebahagian kecil daripada susunan acara kerana terdapat tiga lagi acara sampingan L’Étape yang menjadi tarikan utama ribuan pengunjung orang pada Jumaat dan Sabtu. Pertamanya adalah ‘L’Étape Wav Jam’ yang menampilkan persembahan muzik daripada 12 artis bebas tempatan yang memainkan pelbagai genre dan memukau dengan kehebatan vokal masing-masing.

Bukan itu sahaja, dua stesen radio rasmi iaitu hotFM dan buletinFM turut bergabung tenaga untuk menganjurkan sebuah konsert mini pada Sabtu yang membariskan artis-artis terbaik Akademi Fantasia seperti Marsha Milan, Amira Othman dan Amir Masdi.

Kedua-dua persembahan itu menawarkan segala elemen yang dijangka – nyanyian bertenaga, irama yang menular dan suasana kepestaan yang membuatkan sesiapa sahaja yang berada di situ menari-nari mengikut rentak muzik yang didendangkan. Kemasukkan ke dua konsert mini itu adalah percuma, dan lebih penting keseronokkan yang dialami tentunya membuatkan para pelumba melupakan segala kepenatan pada siang hari.

Bahang suasana festival di venue pertandingan turut dirasai oleh kanak-kanak yang tidak ketinggalan untuk menonjolkan kehebatan kayuhan masing-masing menerusi pertandingan Pushbike jenama L’Étape yang pertama di dunia di L’Étape Johor Festival Village. Acara itu telah disertai oleh lebih 200 kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan dua hinggas lapan tahun. Aksi comel dan mencuit hati mereka telah membuatkan penonton terhibur dan ketawa besar.

Keghairahan selepas perlumbaan berterusan sehingga ke malam dengan parti anjuran Hard Rock Hotel Desaru Coast. Di situ, para peserta memanfaatkan kesempatan untuk berkenalan dan beramah mesra dengan pelumba-pelumba lain sambil menikmati minuman yang menyegarkan dan rentak muzik rancak yang dimainkan oleh DJ.

Edisi kedua L’Étape Johor menyaksikan penguasaan pasangan suami isteri dari Afrika Selatan Matthew dan Alicia Brittain, yang meraih dua kategori utama iaitu Lelaki Elit dan Wanita Elit yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 140km.

Lebih menarik, Matthew merupakan bekas atlet mendayung yang pernah membantu negaranya meraih emas acara berpasukan lelaki di Olimpik London 2012. Meskipun baru menceburi sukan berbasikal beberapa tahun lalu, ia langsung tidak menjadi penghalang kepadanya untuk beraksi cemerlang apabila apabila muncul juara dengan catatan tiga jam, 17 minit dan 40 saat (3:17:40).

Atlet berusia 36 tahun itu berkata, mentaliti yang dia terapkan dalam latihan mendayung banyak membantu dan melancarkan peralihannya ke sukan berbasikal.

“Menang pingat emas di peringkat Olimpik adalah suatu pengalaman sangat menakjubkan dan ia tidak akan dikecapi tanpa kerja keras. Mentaliti dan intensiti yang diperlukan dalam sukan mendayung adalah sama seperti berbasikal, jadi saya berasa gembira dapat menerapkan kualiti yang sama untuk perlumbaan kali ini,” kata Matthew.

“Strategi saya adalah untuk melakukan ‘attack’ ke atas kelompok utama selepas 90 kilometer. Sebaik saya melihat ada peluang ketika mendaki bukit, saya memecut sekuat hati saya. Saya merenung ke bawah sahaja sambil menggambarkan diri saya menyarung jersi kuning. Ia satu perlumbaan yang hebat, pemandangan di sepanjang laluannya memang indah dan suasana keseluruhannya juga menakjubkan.”

Alicia melengkapkan hari gemilang untuk pasangan itu dengan muncul juara Wanita Elit dengan catatan masa 3:22.14.

Sementara itu, saingan kali juga diperkuatkan lagi dengan kelibat beberapa pelumba basikal kebangsaan seperti Anuar Manan, Aiman Zarif dan Nabil Sofian. Turut serta, bekas Menteri Kesihatan dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, dan selebriti tanahair lain termasuk pengacara radio terkemuka Fara Fauzana, Johan Raja Lawak, AG dari hotFM.

Penganjur Muse Group Asia berasa teruja dengan kerancakkan suasana yang dijana oleh acara itu.

“Kami memang berhasrat untuk menjadikan acara kali ini berbeza berbanding dengan tahun sebelumnya. Itulah sebabnya kami telah bekerja keras untuk memperkenalkan acara berasakan kepestaan bagi tahun ini. Kami mahu memastikan para peserta tidak sekadar datang untuk berlumba, tetapi turut berhibur dengan acara-acara sampingan yang kami sediakan untuk pasca perlumbaan.

“Ia memberikan kami kepuasan yang tidak terhingga untuk melihat semua yang terlibat terhibur, sekaligus memberi dorongan kepada kami untuk mencipta banyak lagi kenangan manis buat para peserta kami pada tahun-tahun akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia Riduwan Matni.

Penganjur bersama, KPRJ Sports berasa bangga dengan sokongan padu yang diterima acara ini daripada komuniti berbasikal Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk menganjurkan acara ini untuk kali kedua di Johor. Memang sudah menjadi komitmen kami untuk mengembangkan komuniti sukan di Johor, justeru usaha kami membawa L’Étape Johor ke negeri ini untuk menarik penyertaan komuniti berbasikal sememangya tepat sekali,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Yang Berhormat Dato’ Lukman Abu Bakar.

Pengerusi Belia dan Sukan Johor, Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi Mad Shah, yang mewakili Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ On Hafiz Ghazi, berkata L’Étape Johor telah mencipta nama sebagai acara sukan utama di negeri selatan itu.

“Kami berjaya meraih penyertaan hampir mencecah 9,000 orang untuk dua tahun pertama sahaja, dan ini angka memberangsangkan ini sudah cukup untuk menunjukkan betapa besar minat rakyat negara ini terhadap sukan berbasikal. Kami mengharapkan akan dapat terus mengadakan acara ini di Desaru dan komited untuk terus mendukung acara ini dengan sedaya yang mungkin,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Yang Berhormat Tuan Raven Kumar Krishnasamy turut hadir menyaksikan acara berkenaan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Desaru Coast telah mengukir nama selaku antara hab pelancongan sukan yang tersohor di negara ini. Asalnya sebuah pusat peranginan persisiran pantai yang indah dengan pasir putih mengebu dan air laut yang membiru, Desaru Coast menawarkan pelbagai pilihan penginapan, kemudahan infrastruktur dan kemudahan akses. Ini sekaligus menjadikan ia sememangnya memiliki kapasiti dan ruang yang cukup untuk penganjuran acara sukan dan gaya hidup antarabangsa yang berskala besar.

Acara ini mendapat sokongan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai laluan perlumbaan, idea penginapan, dan lain-lain Soalan Lazim (FAQ), sila layari laman web rasmi, Facebook, Instagram atau TikTok L’Étape Malaysia.

The post Edisi Kedua L’Étape Johor Berlangsung Gilang-Gemilang Di Desaru Coast appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*