Evergreen Umum Bonus Tengah Tahun 11 Bulan Gaji Untuk Pekerja
Syarikat perkapalan terbesar Taiwan, Evergreen sekali lagi mengumumkan bonus lumayan untuk kakitangannya baru-baru ini.
Menurut laporan CNA, syarikat berkenaan bakal memberikan bonus tengah tahun 2023 bernilai antara 10 sehingga 11 bulan gaji, berdasarkan keputusan mesyuarat syarikat pada 14 Mac.
Syarikat gergasi berkenaan dijangka membelanjakan NT$ 1.918 bilion (RM 280 juta) untuk perbelanjaan bonus pertengahan tahun tersebut.
Ia merupakan bonus kedua diterima kakitangan syarikat tersebut tahun ini selepas bonus akhir tahun 2022 yang diumumkan pada Januari lepas.
Evergreen ketika itu mengumumkan bonus akhir tahun 2022 yang lumayan, iaitu sehingga 52 bulan gaji akan dinikmati oleh pekerjanya.
Syarikat itu memiliki kira-kira 3,100 orang kakitangan dengan purata gaji bulanan dinikmati adalah NT$ 60,000 (RM 8,764), lapor CNA.
Bonus 11 bulan gaji, kakitanga Evergreen nikmati bonus keseluruhan sehingga 60 bulan gaji
Secara keseluruhan, staf berkenaan bakal menikmati bonus akhir tahun 2022 dengan bonus tengah tahun 2023 berjumlah sehingga 60 bulan gaji.
Terdahulu, CNA melaporkan Evergreen pada 2022 berjaya mencatatkan hasil pendapatan sebanyak NT$627.284 bilion (RM91.64 bilion). Ia merupakan peningkatan sebanyak 28.17 peratus daripada tahun sebelumnya.
Menurut United Daily News, hasil tersebut merupakan pencapaian terbaik yang pernah dicatatkan sepanjang sejarah syarikat itu.
Bagaimanapun, Evergreen dilapor hanya mencatatkan pendapatan sekitar NT$44.922 bilion (RM6.56 bilion) pada 2 bulan pertama 2023. Angka berkenaan menunjukkan kemerosotan sebanyak 59.94 peratus.
Namun begitu, Presiden Evergreen, Hsieh Huey-chuan berkata kemerosotan itu berpunca daripada pendemik dan cuti sempena Tahun Baru Cina. Katanya lagi, pasaran dijangka akan kembali aktif pada suku kedua 2023.
Syarikat pesaing turut memberikan jumlah bonus akhir tahun yang lumayan kepada pekerjanya
Sebelum ini, pesaing Evergreen Marine, Yang Ming Marine Transport Corp turut dilapor akan memberikan bonus akhir tahun 2022 sehingga 13 bulan gaji.
Keuntungan bersih tahun ke tahun syarikat tersebut melonjak sebanyak 51 peratus atau NT$165.85 bilion (RM 23.79 bilion) dalam tiga suku pertama tahun lepas.
Syarikat-syarikat perkapalan berkata, pertumbuhan hasil yang ketara adalah sumbangan daripada kenaikan kadar tambang ditengah-tengah kekurangan tenaga buruh dan kesesakan di pelabuhan di seluruh dunia di sebabkan pandemik COVID-19.
Sumber: Mothership
The post Evergreen Umum Bonus Tengah Tahun 11 Bulan Gaji Untuk Pekerja appeared first on Siakap Keli.
Be the first to comment