FAMA Sasar Jualan Khas Aidiladha Madani RM11 Juta

fama jualan aidiladha

FAMA Sasar Jualan Khas Aidiladha Madani RM11 Juta

SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) — Program Jualan Khas Aidiladha MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak semalam hingga 28 Jun menyasarkan nilai jualan sebanyak RM11 juta.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata program itu melibatkan lebih 20,000 usahawan di 203 outlet pemasaran FAMA seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).

Beliau berkata orang ramai tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan kerana FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi ini mencukupi.

“FAMA menyasarkan nilai jualan bagi komoditi ayam sahaja sebanyak RM440,000 bersamaan 30,000 ekor dan komoditi daging bernilai RM220,000 bersamaan 6.2 tan untuk jualan kali ini,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Khas Aidiladha MADANI peringkat kebangsaan di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini hari ini, yang turut dihadiri pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri.

BACA JUGA: Boleh Ke Buat Ibadah Korban Untuk Ahli Keluarga Yang Sudah Meninggal? Ini Jawapan Dr. Zul

Aminuddin seterusnya memberi jaminan bahawa bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa adalah mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih di Program Jualan Khas Aidiladha MADANI ini,” katanya.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan jualan istimewa Kombo MADANI yang menawarkan seekor ayam, serai, lengkuas, halia dan daun kunyit dijual pada harga RM10 per unit buat 100 pembeli sahaja.

Sumber: BERNAMA

The post FAMA Sasar Jualan Khas Aidiladha Madani RM11 Juta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*