Filem Malaysia ‘Imam’ Dan ‘Mat Kilau’ Ditayang Di Namibia

mat kilau imam namibia

Filem Malaysia ‘Imam’ Dan ‘Mat Kilau’ Ditayang Di Namibia

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, pada Isnin menganjurkan Promosi Hari Filem Malaysia yang pertama di negara Afrika Selatan itu dengan menampilkan tayangan dua filem terkenal, ‘Imam’ dan ‘Mat Kilau ,’ di pawagam Franco Namibian Cultural Centre (FNCC).

Suruhanjaya Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua filem dengan sari kata bahasa Inggeris itu mendapat reviu baik daripada penonton Namibia kerana ia menerapkan semangat patriotisme dan nilai-nilai murni.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa filem-filem itu mempamerkan kualiti kepimpinan dan semangat juang menentang penindasan, serupa dengan perjuangan Palestin yang berterusan menentang pendudukan Israel.

“Lebih-lebih lagi, ia mencerminkan semangat kepimpinan serta semangat juang menentang penindas – sama dengan senario semasa rakyat Palestin ditindas oleh Israel,” menurut kenyataan itu.

Semasa berucap pada majlis itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez mengambil peluang menjelaskan mengenai isu Palestin serta menyuarakan harapan agar rakyat Namibia akan memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin.

Acara itu menggamit kehadiran lebih 100 peserta, termasuk tokoh terkenal seperti Datuk Bandar Windhoek City Joseph Uapingene dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Namibia Salmaan D Jacobs. Diplomat asing dan 45 pelajar dari Universiti Limkokwing Namibia turut hadir.

Ekspatriat Malaysia yang menetap di Namibia, khususnya dari Windhoek dan Luderitz turut hadir. Pada masa ini terdapat lebih 40 rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Namibia, kebanyakannya dalam sektor cari gali minyak.

Selain tayangan filem, para penonton turut dijamu dengan hidangan Malaysia yang lazat, bertujuan mempromosikan hidangan kulinari negara kepada penduduk tempatan.

Suruhanjaya Tinggi menegaskan bahawa promosi ini selaras dengan inisiatif budaya dan promosi yang diterajui oleh Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Wisma Putra.

BACA: Bukan Saja-saja Letak, Ini Fungsi Lain ‘Soak/Tube’ Pada Mesin Basuh Ramai Tak Tahu

Sumber: Bernama

The post Filem Malaysia ‘Imam’ Dan ‘Mat Kilau’ Ditayang Di Namibia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*