Tindakan Bak Adiwira, Polis Trafik Selamatkan Wanita Nyaris Bersalin Dalam Kereta

Tindakan Bak Adiwira, Polis Trafik Selamatkan Wanita Nyaris Bersalin Dalam Kereta

Dua anggota polis trafik berjaya menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung daripada bersalin di dalam kereta di Jelawat semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, kedua-dua anggota tersebut telah mengiringi kereta yang dinaiki wanita terbabit ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu selepas terperangkap dalam kesesakan jalan raya semasa dalam perjalanan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, suami wanita tersebut telah memandu kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan melulu dan kerap memotong di garisan berkembar kira-kira 7.00 malam semalam.

“Dua anggota trafik tersebut baru sahaja selesai menjalankan Op Selamat di Jelawat.

“Mereka telah melihat insiden itu dan terus menahan kereta terbabit,” jelasnya ketika dihubungi pihak Sinar Harian.

Beliau berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu memberitahu pihak polis bahawa isterinya sedang sakit dan menunggu masa untuk bersalin semasa soal siasat dijalankan.

Harapan hampa apabila tiba di klinik kesihatan

Oleh itu, anggota trafik telah membantu pasangan suami isteri terbabit dengan mengiringi kenderaan mereka ke Klinik Kesihatan Gunong bagi mendapatkan khidmat bantuan ambulans.

Ujarnya, ketika mereka tiba di klinik tersebut, ambulans milik klinik tersebut didapati telah digunakan untuk membawa pesakit lain ke hospital.

Sanggup iringi bakal ibu sehingga lebih 20 km

“Keadaan ketika itu menyebabkan dua anggota polis itu terus bertindak mengiringi kereta terbabit sejauh 20 kilometer ke HRPZ II.

“Ini kerana mereka bimbang wanita tersebut akan bersalin di dalam kereta jika dibiarkan pergi tanpa iringan,” ujarnya.

Akhirnya, pasangan suami isteri tersebut tiba di HPRZ II dalam keadaan selamat pada 8.00 malam sebelum wanita itu dikejarkan ke wad bersalin.

Dengan tindakan heroik yang ditampilkan oleh dua orang pegawainya, Suhaimie sangat menghargai tindakan pantas yang dilakukan oleh kedua-dua anggota polis tersebut, yang disifatkan prihatin akan kebajikan orang awam pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau turut menambah, meskipun sentiasa sibuk dengan tugasan hakiki sebagai seorang polis trafik iaitu mengawal kesesakan trafik, mereka juga sentiasa diingatkan untuk membantu ahli masyarakat yang dilanda masalah semasa ketika berada jalan raya.

BACA: Polis Cari Pemandu Atau Pemilik X70 Viral, Siasat Kes Kanak-kanak Keluarkan Separuh Kepala Dari “Sunroof”

Sumber: Sinar Harian

The post Tindakan Bak Adiwira, Polis Trafik Selamatkan Wanita Nyaris Bersalin Dalam Kereta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*