Gempa Bumi Jepun: Angka Korban Meningkat Kepada 62 Orang

gempa korban 62 orang

Gempa Bumi Jepun: Angka Korban Meningkat Kepada 62 Orang

Angka kematian terkini membabitkan kejadian gempa bumi di Jepun adalah seramai 62 orang, lapor AFP.

Manakala, lebih 300 lagi dilaporkan cedera dan 20 daripadanya parah.

Dalam masa sama, pihak penyelamat negara itu kini sedang berusaha keras mencari mangsa yang terselamat.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada 1 Januari yang menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter, menyebabkan kebakaran besar dan jalan raya terbelah dua.

Memetik AFP, semenanjung Noto di wilayah itu paling teruk terjejas dengan beberapa ratus bangunan musnah akibat kebakaran dan rumah diratakan di beberapa bandar.

Menerusi imej satelit yang dikeluarkan pada Rabu, bandar Wajima dan Suzu juga turut terkesan.

Jumlah korban dijangka meningkat ketika penyelamat bergelut dengan keadaan gegaran susulan dan cuaca buruk untuk mengorek runtuhan.

Sementara itu, lebih 31,800 orang kini berada di tempat perlindungan.

“Lebih daripada 40 jam telah berlalu sejak bencana itu. Kami telah menerima banyak maklumat tentang orang yang memerlukan bantuan.

“Usaha menyelamat sedang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan, polis, bomba dan unit operasi lain, manakala bilangan kakitangan serta anjing penyelamat dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, kami meminta anda untuk sentiasa beringat sepenuhnya bahawa kami berada dalam perlumbaan melawan masa dan untuk terus melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa orang ramai,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida selepas menyertai mesyuarat pasukan petugas kecemasan pada Rabu.

Operasi itu dipertingkatkan apabila Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran hujan lebat di kawasan itu.

“Berhati-hati dengan tanah runtuh sehingga petang Rabu,” kata agensi itu.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Suzu, Masuhiro Izumiya berkata ‘hampir tiada rumah yang berdiri teguh’.

“Kira-kira 90 peratus daripada rumah (di bandar) musnah sepenuhnya atau hampir musnah sepenuhnya… keadaannya benar-benar malapetaka,” katanya.

Seorang wanita di sebuah pusat perlindungan di bandar Shika memberitahu TV Asahi bahawa dia tidak dapat tidur disebabkan terkejut.

“Saya takut kerana kita tidak tahu bila gempa seterusnya akan melanda,” katanya.

Di samping itu, hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa, kata utiliti tempatan itu.

Manakala, kereta api Shinkansen telah beroperasi semula selepas beberapa ribu orang terkandas, sebahagiannya selama hampir 24 jam.

Jepun menarik balik semua amaran tsunami selepas ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter (empat kaki) melanda bandar Wajima dan beberapa siri tsunami kecil dilaporkan di tempat lain.

Untuk pengetahuan, negara itu mengalami beratus-ratus gempa bumi setiap tahun dan sebahagian besarnya tidak menyebabkan kerosakan.

Menurut laporan kerajaan Jepun pada tahun lepas,  jumlah gempa bumi di rantau Semenanjung Noto semakin meningkat sejak 2018.

Negara itu dihantui oleh gempa bumi besar 9.0 magnitud di timur laut Jepun pada 2011, yang mencetuskan tsunami yang menyebabkan kira-kira 18,500 orang terkorban dan hilang.

Sumber: AFP

The post Gempa Bumi Jepun: Angka Korban Meningkat Kepada 62 Orang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*