Generator Gas Beg Udara Kemungkinan Rosak, 2,767 Unit Audi Dipanggil Balik

beg udara audi rosak

Generator Gas Beg Udara Kemungkinan Rosak, 2,767 Unit Audi Dipanggil Balik

Sebanyak 2,767 buah unit kenderaan Audi daripada beberapa jenis model dipanggil semula secara sukarela ekoran wujud masalah yang berkemungkinan berlaku melibatkan beg udara.

Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Erik Winter berkata, panggilan semula itu melibatkan beberapa model Audi yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan beg udara jenis curtain.

“Berdasarkan kepada kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut rosak sekiranya beg udara diaktifkan.

“Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan model-model Audi yang terlibat ialah seperti Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe yang dikilangkan di antara tahun 2008 hingga 2017.

Tambahnya, tindakan memanggil semula ribuan unit secara sukarela ke pusat servis tersebut adalah sejajar dengan keutamaan mereka dalam aspek perkhidmatan selepas jualan (after sale).

“Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti.

“Justeru, kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis, seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka,” tambahnya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa pemilik terlibat supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran bagi mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

Pemilik Audi berpeluang terima diskaun penyelenggaraan 10%

Dalam pada itu, pemilik kenderaan berusia lima tahun dan ke atas juga layak untuk menyertai program Audi Plus yang dilancarkan baru-baru ini bagi menerima manfaat diskaun penyelenggaraan sebanyak 10 peratus di mana-mana pusat Audi Centre.

“Pelanggan juga akan menerima tiga baucar servis yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun kelima servis, selain perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar,” tambahnya.

Sehubungan itu, bagi pelanggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat ataupun tidak dalam panggilan semula berkenaan, mereka dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia untuk maklumat lanjut.

Pelanggan juga boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Audi di talian 1-800-22-2834 atau emel ke info@phsautomotive.com.my

BACA JUGA: Boleh Ke Beg Udara Berfungsi Kalau Tak Pakai ‘Seatbelt’? Ini Jawapannya

Sumber: kenyataan media Audi Communications

The post Generator Gas Beg Udara Kemungkinan Rosak, 2,767 Unit Audi Dipanggil Balik appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*