Harapan MASAC Pada Pembentangan Bajet 2023

Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menyambut baik usaha murni Kerajaan membantu rakyat menangani impak kesan pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dengan pengenalan menu Rahmah bagi membolehkan rakyat berjimat dari sudut pemakanan harian yang merupakan asas dalam kehidupan insan.

Langkah bijak ini bukan sahaja telah memberi ruang kepada rakyat untuk berjimat cermat, ia juga telah memberikan kesan langsung ekonomi yang telah menggerakkan peniaga makanan yang lain turut menurunkan harga makanan mereka dalam garis tindakan memastikan perniagaan mereka terus relevan dengan kehadiran lebih 15 ribu penyedia menu Rahmah dalam pelbagai bentuk juadah hidangan seperti yang telah digariskan Kerajaan.

Kejayaan usaha berani Kerajaan memperkenalkan menu Rahmah yang bertujuan bagi memastikan golongan B40 mampu membeli makanan dengan harga yang amat berpatutan berharga maksimum RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam amat dihargai oleh MASAC. 

Berlandaskan kepada usaha pertiwi Kerajaan ini, MASAC memohon agar menu Rahmah ini turut dipanjangkan secara pemberian kupon kepada bekas penagih dadah agar kehidupan mereka dilindungi dalam komuniti bagi belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini. 

Inisiatif ini boleh digerakkan secara tanggungjawab sosial korporat oleh  syarikat korporat seperti Mydin dengan Kerajaan menjadi pemangkin kepada kejayaan usaha ini dan MASAC sebagai rakan strategik dalam melaksanakan perkara ini ke peringkat akar umbi terutamanya di bandar-bandar besar dan seterusnya boleh dikembangkan perlaksanaannya di desa dan juga kampung-kampung oleh peniaga makanan yang lain. 

Usaha bijaksana ini boleh diberi nama Kupon Menu Rahmah Madani, selaras dengan tonggak ihsan Malaysia Madani iaitu peduli dan belas kasihan termasuk kepada bekas penagih dadah yang telah insaf dalam menjalani kehidupan bermasyarakat sesuai dengan kerangka dasar Malaysia Madani bagi meningkatkan lagi martabat Malaysia sebagai negara berkebajikan kepada bekas penagih dadah di mata dunia.

Rata-rata bekas penagih dadah yang baru menjalani hukuman penjara atau selepas keluar dari pusat pemulihan, mengambil masa sedikit untuk memperoleh pekerjaan atas sebab adanya polisi yang menjadikan asas pengambilan pekerja bebas rekod jenayah sebagai kayu pengukur kebolehupayaan seseorang itu bekerja walaupun bekas penagih ini telah bebas dari pengaruh penggunaan bahan terlarang termasuk dadah.

Sokongan kupon ini selama 3 ke 6 bulan atau lebih untuk bekas penagih ini mampu memberikan mereka makanan asas untuk meneruskan kehidupan sebelum mendapat peluang pekerjaan.

Keadaan ini juga mampu meringkankan beban keluarga untuk menanggung bekas penagih yang baru mencari kerja atau yang telah tidak boleh bekerja atas sebab kesihatan dan lain-lain.

Pemberian kupon ini juga mampu mengurangkan kebarangkalian bekas penagih untuk memperoleh wang saku dari keluarga untuk dadah dengan alasan untuk membeli makanan kerana telah memperoleh makanan menu Rahmah secara percuma bagi sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam.

Keadaan ini juga boleh ke arah bekas penagih tidak perlu meminta sedekah untuk tujuan makan minum atau ke tahap lebih berat lagi mencuri, meragut, menyamun, menipu atau menjual dadah atau menjadi keldai dadah atau melacur hanya demi meneruskan kehidupan seharian untuk sepinggan nasi.

Perkara ini juga dijangka mampu mengurangkan lagi jenayah jalanan dari kalangan penagih dadah dan seterusnya mampu mengurangkan kesesakan di penjara serta pengurusan parol di masa hadapan.

Keadaan ini mampu meningkatkan lagi nama negara di pelbagai indeks kehidupan harmoni serta kebahagiaan di dunia dan boleh diikuti modul perlaksanaannya oleh negara lain dengan datang dan belajar dari Malaysia dengan MASAC membantu merangka tatacara perlaksanaan perkara ini di peringkat akar umbi.

MASAC turut mencadangkan, sebagai usaha madani dalam memberikan peluang pekerjaan lebih baik kepada bekas penagih dadah atau pengguna bahan terlarang ini, para majikan yang menggaji mereka diberikan pelepasan cukai berstruktur bagi menyemarakkan lagi peluang pekerjaan kepada mereka pada pembentangan belanjawan kali ini. 

MASAC yang mempunyai pengalaman luas berkait perkara ini bersedia membantu menasihati Kerajaan dalam membuat dasar ini selaras dengan kejayaan Program Ribbon Kuning di Singapura.

Tambahan dari itu, turut dicadangkan satu sistem baru rekod jenayah bekas penagih dadah dibangunkan melalui dana dari belanjawan kali ini bagi membantu bekas bekas penagih yang telah bebas dadah selama 5 tahun berturut-turut dipadamkan rekod jenayah dadah dari semakan majikan bagi membolehkan mereka mudah mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya kembali ke pangkuan masyarakat dalam menjalani kehidupan normal agar nilai yang diterapkan melalui konsep Malaysia Madani dapat digerakkan serta dilaksana sebaiknya

Selain itu, MASAC sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang terdiri dari puluhan ahli gabungan dan puluhan ribu alumni bekas penagih dadah dengan pengalaman hampir 10 tahun bersedia memimpin bekas penagih dadah ini untuk mengelak mereka kembali menagih atau wujudnya penagih baru dengan bantuan dana tahunan Kerajaan pada belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari.

Dana ini akan digunakan menggerakkan pelbagai aktiviti yang telah dirangka dengan kekuatan puluhan ribu alumni bekas penagih bersama MASAC melalui ahli gabungan ada sedia ada kini sebagai usaha mendekati golongan bekas penagih di peringkat akar umbi di setiap daerah bagi mengurangkan risiko kembali menagih dadah serta mengurangkan risiko penagih dadah yang baru dari kalangan remaja yang akan menjadi pewaris negara dengan konsep monitoring oleh bekas penagih yang telah bebas dadah sebagai leader support group berpusat di setiap daerah yang dibantu urus MASAC yang tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan dan lebih mendapat kepercayaan peringkat akar umbi termasuk bekas penagih.

Dana bantuan dari Kerajaan melalui belanjawan 2023 kepada MASAC ini akan digunakan untuk:- 

(a) Menggerakkan sesi taklimat di peringkat akar umbi bagi tahun 2023 kepada golongan terbabit; 

(b) Menyelaraskan pelbagai program untuk mengurangkan pengguna dadah baru seperti pertandingan mewarna peringkat sekolah, pertandingan fotografi, pertandingan video pendek yang akan juga dihantar ke festival filem antarabangsa, menghasilkan filem kesan dadah kepada keluarga dll dalam mengurangkan pengguna baru dadah; 

(c) Mempertahankan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di kalangan ahli gabungan seperti kos pembaikan pusat perkhidmatan yang telah uzur dll; 

(d) Kolaberasi stratergik MASAC bersama Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan penambahbaikkan dasar kesihatan berkait penagih dadah sedia ada.

(e)  Kolaberasi strategik MASAC bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi pengurusan pusat-pusat pemulihan.

Selain mengutarakan kupon menu Rahmah kepada bekas penagih, serta bajet khas, MASAC turut menyeru kepada Kerajaan agar adanya bajet belanjawan khas bagi kajian lanjut ke arah mewujudkan Undang-Undang khas untuk mewajibkan hanya vape yang diluluskan oleh Kerajaan sahaja boleh dijual oleh para peniaga. 

Kehadiran pelbagai jenama vape yang tidak melalui proses kelulusan yang betul telah menyebabkan adanya vape berperisa bahan terlarang seperti dadah wujud di dalam pasaran yang mengakibatkan lebih ramai penagih dadah bermula menghisap dadah melalui penggunaan vape yang tidak berdaftar dengan Kerajaan dan seterusnya beralih kepada jenis dadah yang lebih berbahaya di masa hadapan.

Usaha mewujudkan perundangan khas menjual hanya vape yang berdaftar, mampu mengawal penggunaan bahan terlarang seperti dadah dari meluas penggunaannya terutamanya remaja dan seterusnya mampu mempertingkatkan hasil pendapatan Kerajaan dari cukai vape yang berdaftar.

Ia sebagai usaha mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan selamat dari kesan negatif penyalahgunaan bahan terlarang.

Tambahan dari perkara di atas, MASAC turut merayu kepada Kerajaan agar satu pejabat khas dari bekas kuartes di Jalan Bellamy diberikan kepada MASAC untuk digunakan sebagai ibu pejabat tetap tanpa bayaran sewa dan diselenggara Kerajaan dalam usaha memudahkan lagi pelbagai urusan MASAC bersama pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara. 

MASAC turut bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran dengan mengikuti penghantaran pasukan penyelamat ketiga dari Malaysia sekiranya Kerajaan berhasrat berbuat sedemikian untuk memberikan sokongan moral kepada mangsa gempa bumi dan petugas barisan hadapan di selatan Turkiye bagi mengelak mereka terlibat semula dengan dadah atau bermula dengan dadah kesan dari tekanan mental akibat dari bencana alam ini.

Bertitik tolak dari pelbagai kesan sampingan kepada kesihatan mental akibat pandemik Covid-19, MASAC turut mencadangkan agar bajet lebih besar diberikan kepada badan berkait kesihatan mental kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Selain dari meningkatkan pengetahuan masyarakat, MASAC turut mengharapkan lebih banyak bajet diberikan kepada badan penguatkuasaan penyalahgunaan dadah seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membesarkan lagi keanggotaan serta kemudahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM teruatamanya dari sudut peningkatan kemahiran siasatan berkait kesalahan narkotik dari sudut pembuktian dengan memperbanyakkan lagi latihan kepada PDRM serta kawalan sempadan yang lebih ketat agar negara boleh mengurangkan bencana dari permasalahan berkait dadah.

MASAC yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam isu penyalahgunaan dadah mempunyai berpuluh pelbagai ahli gabungan yang mempunyai banyak kepakaran selain dari pengalaman Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif MASAC yang terdiri daripada pelbagai golongan professional turut bersedia menjadi rakan strategik Kerajaan dalam merangka dasar pengurusan pusat-pusat pemulihan swasta bagi penagih atau keluarga yang mendaftar secara sendiri. 

MASAC turut mengharapkan adanya dana disalurkan kepada NGO untuk mengadakan lebih banyak usahasama bersama badan antarabangsa seperti Colombo Plan, World Health Organization dan lain-lain dalam usaha mempertingkatkan lagi kepakaran negara untuk menguruskan perihal penagihan dadah melalui partisipasi lebih besar dari masyarakat madani NGO selain badan Kerajaan sedia ada. 

MASAC turut mempelawa mana-mana NGO yang berminat untuk bersama MASAC sebagai ahli gabungan. 

Kini terdapat 43 ahli gabungan dari 11 buah negeri bersama MASAC, termasuk Persatuan Pengasih Malaysia, Rumah Al-Hijrah, Pusat Pemulihan Dadah Dan Akhlak Darul Munawarah, Rumah Lindungan Kasih Darul Naim, Pertubuhan Rakan Sebaya Malaysia, Pertubuhan Pondok Inabah, Persatuan Klien AADK, Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited), Victory Life Training Centre, Solace Asia, Drug Free Malaysia, Life Zone Drug Rehabilitation Centre, Persatuan Kebajikan Bekas Penghuni Pemulihan Malaysia (Prokim), Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia, Pusat Rawatan Darul Islah, Pusat Rawatan Pemulihan Dadah Bela Insan, Rumah Sahabat, Pondok Inabah Remaja 2 dan lain-Lain.

The post Harapan MASAC Pada Pembentangan Bajet 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*