Harimau Terlepas Dari Kandang Serang Manusia & Bunuh Haiwan Lain, Pencuri Punya Pasal

Harimau Terlepas Dari Kandang Serang Manusia & Bunuh Haiwan Lain, Pencuri Punya Pasal

Pihak berkuasa di Afrika Selatan sedang mencari seekor harimau yang terlepas dari kandangnya di sebuah ladang persendirian berhampiran Johannesburg, Afrika Selatan.

Menurut CBS News, harimau tersebut telah mencederakan seorang lelaki dan menyebabkan tiga haiwan terbunuh.

Lelaki berusia 39 tahun itu terselamat dalam serangan tersebut, namun seekor anjing dan seekor rusa terbunuh, manakala seekor lagi anjing cedera parah, kata Gresham Mandy, ketua kumpulan polis komuniti.

Penduduk telah diberi amaran untuk berwaspada di sekitar wilayah Walkerville di selatan Johannesburg dan elakkan diri daripada berhadapan dengan haiwan itu.

Memetik CBS News, kira-kira 30 orang terlibat dalam pencarian haiwan tersebut di mana jejak terbaharunya dikenal pasti.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

“Kami menggunakan dron, helikopter tetapi ia agak sukar disebabkan oleh semak,” kata Mandy kepada agensi berita AFP.

Pegawai yang mengarahkan pencarian itu berkata bahawa berkemungkinan haiwan itu merupakan harimau belang betina yang berusia 8 tahun, bernama Sheba. Harimau berkenaan bersembunyi di kawasan semak untuk berteduh.

Anggota pasukan petugas khas polis mula mengambil alih tugas daripada kumpulan polis komuniti tempatan dan kumpulan perlindungan haiwan SPCA, mula mengetuai pencarian pada hari Isnin lepas.

Mandy berkata keutamaan pertama adalah untuk menenangkan haiwan itu dengan ubat penenang dan membawanya kembali dengan selamat.

Menurut Mandy, harimau itu berjaya terlepas kerana pagar di kebun kecil tempat ia ditempatkan telah dipotong oleh pencuri.

“Nampaknya pencuri memotong pagar untuk masuk dan keluar dari kawasan tersebut. Harimau itu melihatnya dan melarikan diri menggunakan pagar yang telah dipotong,” kata Mandy.

Memetik CBS News lagi, haiwan pemangsa itu dipelihara di ladang sebagai haiwan peliharaan.

Haiwan tersebut bukan berasal dari Afrika Selatan, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini pembiakan harimau telah menjadi perkara biasa di negara itu.

Satu laporan oleh badan amal hak haiwan global Four Paws menunjukkan bahawa 359 ekor harimau, hampir sepersepuluh daripada populasi harimau dunia telah dieksport dari Afrika Selatan dari 2011 hingga 2020 dan kebanyakannya dijual kepada zoo.

“Amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab untuk menyimpan haiwan ini di kawasan kediaman dan mengekalkan hidupan liar dalam kurungan,” kata Keshvi Nair, jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (NSCPA).

Insiden tersebut berlaku hanya tiga hari selepas pegawai di AS berkata bahawa seekor harimau bintang di Zoo Dallas terlepas dari kandangnya kerana ia dipotong dengan sengaja.

Bagaimanapun, harimau itu berjaya diselamatkan berhampiran habitatnya pada awal petang Jumaat dan tiada orang mahupun haiwan yang cedera.

Sumber: CBS News

The post Harimau Terlepas Dari Kandang Serang Manusia & Bunuh Haiwan Lain, Pencuri Punya Pasal appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*