Hati-Hati, Kurap Pada Kucing Juga Boleh Berjangkit Pada Manusia

kurap pada kucing

Hati-Hati, Kurap Pada Kucing Juga Boleh Berjangkit Pada Manusia

Memang tidak dinafikan, kucing merupakan haiwan peliharaan yang paling diminati orang ramai.

Dengan hanya berlari-lari, melompat ke sana sini serta menjatuhkan barang, telatah si comel ini sentiasa mencuri tumpuan.

Bagi pencinta kucing mereka bukan hanya memelihara satu atau dua ekor tetapi ada yang sanggup memelihara sehingga 10 ekor kucing atau lebih di dalam rumah.

Seperti diketahui ramai, sifat semula jadi kucing ialah sangat jinak dan manja. Tidak terkecuali bagi kucing terbiar atau kucing jalanan.

Malah, ada sesetengah orang yang ‘tergoda’ dengan kecomelan kucing tersebut dan membawa pulang ke rumah.

Pun begitu, anda harus berhati-hati apabila ingin membawa kucing terbiar, kerana kemungkinan terdapat penyakit yang ada pada haiwan tersebut yang boleh menjangkiti manusia.

Oleh itu, pastikan anda membawa kucing ke veterinar atau klinik haiwan terlebih dahulu untuk mendapatkan pemeriksaan.

Dijangkiti kurap

Terdahulu, seorang pengguna akaun TikTok @aidaneusofff telah berkongsi mengenai keadaannya yang telah dijangkiti fungus dari kucing.

Menerusi video tersebut, wanita itu memaklumkan bahawa kucing terbiar yang dibawa pulang ke rumah mempunyai penyakit fungus yang serius.

“Waktu Nadia handle kucing ini, Nadia tidak memakai sarung tangan, walaupun Nadia sudah guna sabun tapi masih kena jangkitan.

“Jangkitan ini sangat-sangat gatal dan merebak dari satu bahagian ke bahagian yang lain,” katanya.

Gambar: TikTok aidaneusofff

Menurutnya, bukan tangannya sahaja tetapi beberapa tubuh badannya juga dijangkiti kurap menyebabkan dia trauma kerana sangat gatal.

Jelas sekali jangkitan kurap ini perlu diberikan perhatian. Ikuti maklumat lanjut mengenai jangkitan itu di bawah ini.

Menurut Hello doktor, kurap adalah sejenis jangkitan kulat yang menyerang pada kulit, rambut, dan juga kuku yang berlaku pada manusia dan semua spesies haiwan termasuklah kucing peliharaan anda.

Organisma yang menyebabkan jangkitan kurap ini tergolong dalam kumpulan kulat khusus yang dikenali sebagai dermatophytes.

Macam mana kucing boleh dijangkiti kurap?

Kucing anda boleh mendapat jangkitan kurap dari kucing lain yang dijangkiti atau disebabkan persekitaran kurap yang membiak.

Perkara ini lebih mudah berlaku jika rumah anda mempunyai banyak kucing.

Hal ini kerana penyakit ini boleh merebak melalui folikel rambut dan kulit yang dijangkiti, yang dibuang secara semula jadi oleh kucing.

Bagi pengetahuan semua, kurap mudah menjangkiti  pada kucing yang lebih muda dan kucing berbulu panjang.

Biasanya, kucing di bawah satu tahun lebih mudah terdedah kepada jangkitan kerana sistem imun mereka belum berkembang sepenuhnya.

Sementara itu, kucing berbulu panjang pula mudah terkena kurap kerana ada tempat pembiakan kurap dalam bulunya. Ia berlaku kerana spora kulat terperangkap dengan lebih mudah dan lebih sukar untuk dikeluarkan.

Gambar: TikTok aidaneusofff

Punca kurap kucing berjangkit pada manusia

Kurap merupakan penyakit yang mudah berjangkit yang menular melalui sentuhan secara langsung  dengan haiwan atau individu yang dijangkiti.

Selain itu, penyakit ini boleh berjangkit sekiranya anda menyentuh objek dan permukaan yang telah tercemar dengan kulat kurap.

Tambahan lagi, spora kulat boleh hidup pada sikat, berus, mangkuk makanan, perabot, tempat tidur, permaidani atau permukaan persekitaran lain secara tidak aktif sehingga mencecah tempoh 18 bulan.

“Untuk pengetahuan anda, sentuhan dengan kulat kurap tidak selalunya mengakibatkan jangkitan.

“Namun, jumlah pencemaran persekitaran adalah faktor penting dalam perkembangan jangkitan kurap,” kata Hello Doktor.

Rawatan

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat.

Rawatan juga bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap kulit yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat dan kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim.

Anda boleh menggunakan krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox.

Selain itu, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil boleh digunakan jika terdapat banyak kawasan pada tubuh dijangkiti kurap.

Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mengenalpasti tahap jangkitan kurap itu.

BACA JUGA : Kenali Hoarding Disorder, Tabiat Suka Simpan Barang Lama & Sayang Nak Buang

Sumber: Hello Doktor, MyHealth, aidaneusofff

The post Hati-Hati, Kurap Pada Kucing Juga Boleh Berjangkit Pada Manusia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*