Ramai Salah Faham, Dr Malar Minta Jangan Guna Perkataan ‘Ditidurkan’

jangan guna perkataan 'ditidurkan'

Ramai Salah Faham, Dr Malar Minta Jangan Guna Perkataan ‘Ditidurkan’

Perasan tak, akhir-akhir ini perkataan ‘ditidurkan’ acap kali digunakan dalam konteks yang salah dengan ada yang menganggap bahawa pesakit yang ‘ditidurkan’ akan meninggal dunia.

Biarpun ia hanyalah satu perkataan, namun ia mampu memberi impak negatif terhadap bidang kesihatan kerana ia didakwa sebagai sesuatu yang buruk.

Pegawai perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan memohon agar orang ramai tidak menggunakan perkataan ditidurkan kerana perkataan sebenarnya adalah diintubasi.

“Jangan sebut ditidurkan sebab prosedur yang sebenar adalah intubation atau dalam bahasa Melayu diintubasi.

“Proses ini adalah bantuan pernafasan bukannya kita dodoikan dan tidurkan pesakit itu.

“Bantuan pernafasan ini ada banyak peringkat dan peringkat yang paling tinggi sekali adalah apabila pesakit diberikan bantuan intubasi dan dipantau secara rapi diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” jelasnya dalam satu video.

Dr Malar berkata sekiranya pesakit tersebut diintubasi ia bermakna pakar memberikan standard penjagaan tinggi terhadapnya.

Jenis-jenis bantuan pernafasan

Mengambil peluang menerangkan jenis-jenis bantuan pernafasan sedia ada di negara ini, Dr Malar berkata yang paling ringkas sekali ialah jenis T yang dimasukkan dalam hidung atau topeng muka.

Ia menutup bahagian hidung sehingga mulut dan kemudian, lebih tinggi daripada penutup muka adalah high flow mask yang mempunyai satu beg di bahagian bawah diisi dengan oksigen.

“Apabila pesakit tarik nafas pun penuh oksigen, ketika dia hembus nafas pun ada kandungan oksigen yang tinggi (reservoir).

“Kalau sampai high flow mask pesakit masih tidak dapat pengoksigenan yang bagus, tak boleh bernafas dengan baik, kami (pakar) akan gunakan kaedah yang seterusnya yang disebut sebagai pengudaraan bukan invasif (NIV),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Malar berkata bantuan pernafasan tersebut menggunakan mesin yang masih menggunakan topeng di bahagian muka.

“Mesin tersebut akan mengawal tekanan, banyak mana pesakit itu tarik nafas, tinggi mana dada tarik nafas dan juga tekanan apabila nafas dilepaskan serta-merta.

“Bantuan mesin NIV ini hanya akan diberikan sekiranya pesakit masih sedar, masih boleh terima arahan, tak meracau-racau dan boleh duduk,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya pernafasan pesakit terlampau lemah atau sangat lemah atau tidak bernafas tetapi nadi masih ada, pakar akan memberikan bantuan pernafasan terus kepada pangkal trakea.

BACA: Budak Lima Tahun Maut, Leher Dipercayai Tertusuk Besi Ampaian

Tiub yang dimasukkan akan terus ke pernafasan trakea di belakang peti suara dan disambungkan untuk beri oksigen. 

“Biasanya kita akan pam dahulu, kalau nampak dada naik turun dengan baik dan tiub diletakkan di tempat yang betul maka kita akan sambungkan kepada mesin.

“Ia akan membantu pesakit itu bernafas semula dan hanya diberi kepada pesakit yang mengalami keadaan sangat kritikal sahaja.

“Pesakit kategori seperti ini memang sudah kritikal, sebab itu kita dengar banyak kes meninggal dunia sebelum itu mereka diintubasi,” jelasnya.

Dr Malar turut mengingatkan orang ramai, terutamanya pengamal media, agar tidak menggunakan perkataan ditidurkan untuk mengganti perkataan diintubasi.

Perkataan tersebut akan membuatkan rakyat di negara ini keliru selain membebankan kerja-kerja pakar kesihatan menerangkan keadaan tersebut pada keluarga pesakit.

Apa tujuan diintubasi? Netizen kongsi pengalaman

Sementara itu di Facebook, peguam Hayat Muhammad bertanya soalan kepada pengguna media sosial berkenaan tujuan pesakit diintubasi susulan ramai yang tidak mengetahui sebab ia dilakukan kerana tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam perkara itu.

“Sebenarnya, apa tujuan pesakit diintubasi? Kami bukan doktor cuma nak tahu,” memetik hantaran itu.

Kredit: Hayat Muhamad/Facebook

Rata-rata pengguna sebelum ini yang pernah merasai pengalaman tersebut meninggalkan komen menceritakan kembali mengenai intubasi itu yang dilalui mereka.

Seperti yang diceritakan oleh Afiza Abdullah yang hampir berdepan dengan maut apabila disahkan mengalami COVID–19 peringkat lima.

Kredit: Hayat Muhamad/Facebook

Jelasnya, pakar mencadangkannya untuk diintubasi kerana mahu merehatkan organ dalaman dengan ‘berhenti bekerja’ buat sementara waktu selain peluang untuk hidup lebih tinggi.

Afiza yang mengenang kembali kejadian tersebut berkata sekiranya tidak diintubasi kemungkinan dia akan meninggal dunia dalam masa beberapa jam.

“Kalau ikutkan (keadaan) paru-paru saya itu (kalau tidak diintubasi), semua sudah gelap (meninggal). Saya sanggup dibius daripada bersusah payah untuk bernafas.

“Allah sahaja yang tahu betapa seksanya untuk menarik nafas, kalau ingat balik memang menitik air mata,” komennya di Facebook.

Kredit: Hayat Muhamad/Facebook

Mengalami perkara yang sama, Syamimi Ahmad Sabran berkata pakar memilih untuk membius ibunya yang mengalami COVID-19 itu kerana mahu mengurangkan pergerakan badan wanita tersebut.

Apabila ibunya sering menggerakkan badan,  tahap oksigen akan jatuh menyebabkan kehilangan tenaga meskipun luaran fizikal wanita itu dalam keadaan baik.

BACA: MADAD Cadang Sedia Van Khas Murid, Lepas Subuh Terus Hantar Ke Sekolah

“Mak saya diintubasi selama 28 hari, dalaman (paru-paru) sangat tidak okay. Alhamdulillah selepas diintubasi keadaan mak semakin okay.

“Pada hari ke-29, mak bangun. Alhamdulillah Allah bagi peluang mak saya sihat kembali,” ujarnya.

Kak Nad yang mempunyai pengalaman sebanyak empat kali diintubasi berkata keadaannya semakin baik walaupun sampai sekarang bernafas menggunakan tracheostomi.

Kredit: Hayat Muhamad/Facebook

Katanya, dia telah diintubasi di ICU akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Sakit, kemalangan, diintubasi atau sebaliknya hanya asbab kematian. Sudah tertulis di luth mahfuz bagaimana cara kematian kita.

“Masa, tempat dan usia kematian semua itu rahsia Allah,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengguna Azmil Awalluddin berkata apabila membaca pengalaman yang dikongsi oleh orang ramai, kebanyakan mereka beransur pulih selepas diintubasi.

Jelasnya, kebanyakan di antara kita sering berfikiran buruk apabila bercakap tentang bius.

Kata Azmil, kebiasaannya yang tular itu pesakit yang tidak dapat bertahan dan dari situ orang ramai terus membuat dakwaan bahawa bius boleh membawa maut.

@drmalarss

Sebenarnya #hamdansenario tidak ditidurkan. Ini perkara sebenar yang berlaku !! #celotehdrmalar #hamdansenario #hamdansenarioditidurkan

♬ original sound – CelotehDrMalar – CelotehDrMalar

Sumber: Hayat Muhammad/Facebook, @drmalarss/TikTok

The post Ramai Salah Faham, Dr Malar Minta Jangan Guna Perkataan ‘Ditidurkan’ appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*