Henti Guna Perkataan Kafir, Zionis, Yahudi Label Ahli Parlimen – Speaker

kafir ahli parlimen

Henti Guna Perkataan Kafir, Zionis, Yahudi Label Ahli Parlimen – Speaker

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Semua Ahli Parlimen diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan kafir, zionis dan Yahudi untuk melabel seseorang ketika perbahasaan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata kenyataan berkenaan boleh mengeruhkan suasana, menyentuh sensitiviti, mengguris hati dan menggugat keharmonian negara.

“Kita telah mengharungi empat hari perbahasan Belanjawan 2024 sepanjang minggu lepas dan dalam perbahasan ahli Yang Berhormat, pelbagai hujah dan pendirian telah diutarakan mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati.

“Oleh itu, saya menyeru ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan kafir, zionis dan Yahudi apatah lagi sekarang ini dalam suasana yang tidak kondusif langsung dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian,” katanya sebelum sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Menurut Johari, Peraturan Mesyuarat 36 (10) ( c ) juga menyatakan adalah salah menggunakan perkataan-perkataan yang menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuh-musuhan antara kaum di Malaysia.

Beliau berkata Ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan tingkah laku terpuji semasa mengetengahkan isu rakyat dan negara serta menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama selain tidak menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik kumpulan mahupun individu.

Johari berkata beliau dan timbalannya mempunyai kuasa mengawal selia mesyuarat dan memastikan kelancaran dengan menggunakan peraturan sedia ada, seperti jelas termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

BACA: Pendirian Kerajaan Mengenai Isu 3R, Penduduk Tanpa Dokumen Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

“Pada hari ini, saya mengajak ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu, padamkanlah isu panas tersebut yang berlaku pada minggu lepas dan biarkanlah perbahasan ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana.

“Saya tegaskan bahawa tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya  isu dan perkataan yang dimaksudkan tadi dibangkitkan lagi,” katanya.

Dalam permasyhuran itu, Johari turut memberi peringatan kepada Ahli Parlimen agar tidak membangkitkan isu peribadi di dalam Dewan Rakyat dan sebarang perkara peribadi yang dibangkit dan dilaporkan di luar dewan hendaklah diselesaikan di luar.

Menurutnya, Peraturan Mesyuarat 23(1)(i) menyatakan bahawa suatu kenyataan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidaknya penerangan dalam akhbar atau penerangan disebut oleh dirinya sendiri.

Beliau berkata Peraturan Mesyuarat 36(9) pula menyatakan bahawa dalam apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat sesiapa Ahli Parlimen atau siapa-siapa pegawai kerajaan selain daripada kelakuan pada menjalankan urusan sebagai Ahli Parlimen atau pegawai kerajaan.

Bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta penjelasan berkenaan larangan penggunaan perkataan berkenaan, Johari berkata ia hanya melibatkan tindakan melabel seseorang dan bukan kenyataan mengutuk serangan dilakukan pihak terbabit.

Sumber: BERNAMA

The post Henti Guna Perkataan Kafir, Zionis, Yahudi Label Ahli Parlimen – Speaker appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*