Hero Untuk Tuannya Yang Cacat Pendengaran, Zebby Dinobat Kucing Kebangsaan 2023

zebby kucing kebangsaan

Hero Untuk Tuannya Yang Cacat Pendengaran, Zebby Dinobat Kucing Kebangsaan 2023

LONDON — Seekor kucing dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kucing Kebangsaan Tahun 2023 selepas mengetepikan ribuan penyertaan lain dalam satu pertandingan yang berlangsung di Dewan Muzik Wilton di London pada Isnin lalu, lapor Metro UK.

Zebby, Si Kucing Pembantu Tuan Pekak

zebby kucing kebangsaan
Gambar: PA Media

Menerusi anjuran badan Cats Protection bersempena perayaan kucing terbesar di negara itu, Zebby diiktiraf sebagai pemenang kerana menjadi pembantu “pendengaran” terhadap pemiliknya, Genevieve Moss, 66, yang mempunyai masalah pendengaran.

Zebby berjaya mara sehingga ke peringkat akhir sebelum memenangi kategori Family Fur-ever menerusi undian orang awam. Dia juga dipilih oleh panel selebriti dan pakar doktor haiwan sekaligus menerima Anugerah Kucing Kebangsaan 2023.

Kucing itu berjaya membawa pulang sebuah trofi, hadiah dan termasuk baucar kedai haiwan peliharaan bernilai £200 (lebih RM1,100).

Penganjur Anugerah Kucing Kebangsaan, Ashley Fryer berkata, sejak kali pertama membaca borang penyertaan, mereka sedar bahawa Zebby kucing yang istimewa.

“Zebby sangat mengambil berat tentang Genevieve. Kisah mereka membuktikan ikatan yang kuat antara manusia dan kucing. Dia adalah contoh terbaik yang menggambarkan kegembiraan dan keselesaan yang boleh dibawa oleh kucing,” katanya.

Kehidupan Sebagai Seorang Pekak

zebby kucing kebangsaan
Gambar: PA Media

Difahamkan, haiwan itu bertindak sebagai ‘telinga’ Genevieve dengan memaklumkan tentang persekitaran di rumahnya. Meskipun tidak diajar secara formal, Zebby dapat membantu pemiliknya yang berasal dari Chesterfield, Derbyshire itu.

Pemillik haiwan peliharaan itu juga meluahkan rasa bangga dengan memiliki kucing itu.

“Saya sangat berbangga dengan Zebby kerana dia menunjukkan kepada dunia bagaimana kucing boleh menjadi haiwan yang sangat penyayang. Haiwan ini juga dapat memberikan kehidupan yang lebih baik terhadap orang ramai.

“Saya juga tidak dapat membayangkan bagaimana hidup saya tanpa Zebby. Saya sangat gembira kerana dia telah diberikan Anugerah Kucing Kebangsaan.

Ulas Genevieve dengan lebih lanjut, hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang mudah. Kehadiran kucing berwarna hitam putih seperti Zebby memberi sinar dalam kehidupannya.

Gambar: PA Media

BACA JUGA: Betul Ke Kucing Ada 9 Nyawa? Ini Fakta Daripada Kajian Yang Dilakukan

“Hidup sebatang kara dan seorang yang disahkan pekak mungkin membuatkan kehidupan saya sunyi. Namun, ia tidak berlaku dengan kehadiran Zebby di sekeliling saya. Dia ibarat ‘hero’ kepada saya,” katanya.

Ketika tidak memakai alat bantuan pendengaran, dia memberitahu bahawa kucing kesayangannya itu menjadi telinga keduanya kerana tidak mendengar.

“Dia akan datang dan mencari saya apabila telefon berdering. Dan barulah saya akan menghidupkan alat pendengaran dan pembesar suara saya sewaktu menerima panggilan.

“Pada waktu malam, jika terdapat bunyi yang aneh, dia akan memanggil saya dengan ‘memukul kepala’ bagi membangunkan saya dari tidur. Jika terdapat seseorang di pintu, dia akan berjalan dan mundar mandir di kawasan itu sehingga saya faham,” jelas Genevieve lagi.

Bukan sahaja menjadi pendengar kepada wanita berusia 66 tahun itu, Zebby juga membantunya dalam perkara lain.

zebby kucing kebangsaan
Gambar: Simon Jacobs/PinPep

“Dia suka membantu saya dan membawakan saya barang. Dia akan mengambil barang dari peti surat dengan menggunakan mulutnya sebelum meletakkan di dalam bilik tidur.

“Zebby juga akan membawakan saya selipar jika dia menjumpainya di kawasan lain. Dia juga suka berada di sekeliling saya. Di mana saya berada dia ada di belakang saya,” maklumnya.

Sehubungan itu, Genevieve menyifatkan haiwan kesayangannya itu sebagai anugerah istimewa kerana mempunyai hubungan yang sangat rapat. Dia juga tidak pernah menjumpai kucing lain seperti Zebby.

Pada 2022, kucing bernama Jasper dan Willow dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut.

Sumber: Metro UK

The post Hero Untuk Tuannya Yang Cacat Pendengaran, Zebby Dinobat Kucing Kebangsaan 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*