Ini Hukum Berkerja Di Syarikat Beri Sewa Mesin Fotostat Kepada Syarikat Arak

hkum berkerja di syarikat sewa mesin fotostat kepada perniagaan arak

Hukum Berkerja Di Syarikat Sewa Mesin Pada Perniagaan Arak

Arak merupakan suatu bahan yang ditegah dalam agama Islam. Penganutnya bukan sahaja dilarang mengambil minuman ini, malah terlibat dalam apa sahaja perkerjaan yang berkaitan dengannya turut dilarang sama sekali.

Namun ada persoalan yang berbangkit apabila seseorang individu mendapati bahawa dirinya berkerja dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan sewa mesin fotostat kepada syarikat arak.

Individu tersebt merasa sangsi terhadap status pekerjaannya dan bertanyakan pada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP). Bagi menjawab persoalan tersebut, pihak Mufti telah mengupas isu tersebut dan memberikan jawapan yang terperinci mengenainya.

Berikut merupakan jawapannya:

Ringkasan Jawapan

Rasulullah SAW melaknat beberapa golongan yang terlibat dengan arak. Oleh itu, semua perbuatan yang berkaitan dengan arak diharamkan.

Namun begitu, jika seseorang bekerja di syarikat sewa beli mesin dengan perniagaan arak dan dikhuatiri akan hasil pendapatannya bercampur dengan perkara yang haram, maka hukumnya makruh untuk menggunakan gaji hasil bekerja di syarikat tersebut.

Hal ini kerana hasil tersebut dibimbangi daripada perkara yang haram yang bercampur dengan sumber halal.

Namun begitu, perbuatan bekerja di syarikat yang menyewakan mesin fotostat untuk memudahkan urusan perniagaan arak ialah haram. Hal ini kerana perbuatan tersebut dikira membantu dalam urusan maksiat iaitu arak.

Oleh yang demikian, kami menasihati kepada semua yang beragama Islam supaya mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan diri kepada perkara yang haram.

Justeru, dengan mengelakkan diri daripada perkara tersebut dapat menyelamatkan diri dari terjatuh ke dalam perkara yang dilarang oleh agama.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam mengharamkan arak ke atas umatnya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

BACA: Kerajaan Diminta Haramkan Jualan Arak Di Premis 24 Jam Selepas 10 Malam

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإن الخمر حرام وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.

Riwayat Ahmad (17995)

Justeru seorang mukmin hendaklah bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindarkan diri daripada terlibat dengan pekerjaan yang berkaitan dengan arak agar tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat. Hal ini berdasarkan hadis Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmidzi (1295)

ويدخل في معنى ذلك حاضر شربها وكاتب مبايعتها والشاهد عليه، ويدخل في ذلك كل من أعان على محرم

Maksudnya:

(Rujuk: Syarh Sunan Abi Daud li Ibnu Ruslan, 15/155)

Pekerjaan dan gaji bercampur dengan sumber haram

Bagi situasi orang yang bekerja di sesuatu syarikat yang hasil pendapatannya daripada sumber yang meragukan ataupun dikhuatiri bercampur baur antara halal dengan haram, maka hukum menerima gaji daripada sumber tersebut adalah makruh. Kenyataan ini merujuk kepada pendapat Imam Nawawi dalam Raudhah al-Tholibin.

مَنْ ‌أَكْثَرُ ‌مَالِهِ ‌حَرَامٌ، كُرِهَتْ إِجَابَتُهُ كَمَا تُكْرَهُ مُعَامَلَتُهُ

Maksudnya: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.

(Rujuk: Raudhah al-Tholibin wa ‘Umdah al-Muftin, 7/337)

Tambahan lagi, Imam al-Suyuti turut menukilkan penerangan Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni berkenaan pembahagian perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya ketika menerangkan kaedah fiqh yang berbunyi:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Sesuatu perkara yang diyakini tidak dapat diatasi dengan keraguan.

Situasi tersebut berkemungkinan boleh menyebabkan seseorang itu turut terlibat dengan perkara yang haram. Oleh kerana itu hukumnya adalah makruh sebagai langkah berhati-hati.

‌مَنْ ‌أَكْثَرُ ‌مَالِهِ ‌حَرَامٌ وَلَمْ يُتَحَقَّقْ أَنَّ الْمَأْخُوذَ مِنْ مَالِهِ عَيْنَ الْحَرَامِ فَلَا تَحْرُمُ مُبَايَعَتُهُ لِإِمْكَانِ الْحَلَالِ وَعَدَمِ تَحَقُّقِ التَّحْرِيمِ، وَلَكِنْ يُكْرَهُ خَوْفًا مِنْ الْوُقُوعِ فِي الْحَرَامِ.

Maksudnya: Sesiapa yang sumber hartanya banyak daripada yang haram dan orang yang ingin menerima daripadanya tidak dapat mengesahkan status fizikal harta tersebut adalah haram, maka tidak haram berjual beli dengannya kerana terdapat kemungkinan ada sumber yang halal dan tidak ada bukti yang jelas unsur yang haram pada harta tersebut. Namun begitu, makruh untuk bermuamalat dengannya kerana dibimbangi penerima akan terlibat dengan perkara yang haram.

(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazair, 75)

Sementara itu, setiap perbuatan yang melibatkan urusan berkaitkan dengan perkara yang haram maka perbuataan itu hukumnya ialah haram kerana kaedah Usul Fiqh menyebut:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: “Sesuatu yang menjadi medium terhasilnya perkara haram, maka medium tersebut juga dihukumkan haram (walaupun asalnya harus)”.

Selain itu, firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Ma’idah (2)

Melalui ayat ini, Allah SWT secara jelas melarang manusia untuk membantu manusia yang lain dalam melakukan dosa.

Oleh itu, sekiranya seseorang itu bekerja di syarikat yang menyewakan alat fotostat kepada kedai arak bagi memudahkan urusan perniagaan jual beli arak, maka haram pekerjaan tersebut kerana dikira membantu kepada perbuatan maksiat iaitu arak meskipun gaji yang diterimanya makruh hukumnya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW melaknat beberapa golongan yang terlibat dengan arak.

Oleh itu, semua perbuatan yang berkaitan dengan arak diharamkan.

Namun begitu, jika seseorang bekerja di syarikat sewa beli dengan syarikat arak dan dikhuatiri akan hasil pendapatannya bercampur dengan perkara yang haram, maka hukumnya makruh untuk menggunakan gaji hasil bekerja di syarikat tersebut.

Hal ini kerana hasil tersebut dibimbangi daripada perkara yang haram yang bercampur dengan sumber halal.

Namun begitu, perbuatan bekerja di syarikat yang menawarkan khidmat sewa mesin fotostat untuk memudahkan urusan arak ialah haram.

Hal ini kerana perbuatan tersebut dikira membantu dalam urusan maksiat iaitu arak. Oleh yang demikian, kami menasihati kepada semua yang beragama Islam supaya mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan diri kepada perkara yang haram.

Justeru, dengan mengelakkan diri daripada perkara tersebut dapat menyelamatkan diri dari terjatuh ke dalam perkara yang dilarang oleh agama.

BACA: Hukum Sebut Kalimah ‘Allah’ Ketika Niat Wuduk Dalam Tandas

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

The post Ini Hukum Berkerja Di Syarikat Beri Sewa Mesin Fotostat Kepada Syarikat Arak appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*