Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli

hukum sertai maraton riba

Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli

Aktiviti maraton merupakan satu aktiviti yang amat digalakkan bagi masyarakat untuk melakukannya. Hal ini kerana, aktiviti maraton merupakan aktiviti sihat yang dapat menjamin kercergasan otot dan kecerdasan minda.

Lazimnya, aktiviti ini sering dianjurkan oleh syarikat-syarikat tertentu dan kebiasaanya, syarikat ini akan mengenakan bayaran untuk menyertai maraton tersebut. Tidak lupa juga hadiah-hadiah yang menanti para perserta sekiranya mereka menyertai maraton yang dianjurkan itu.

Tapi, bagaimana pula jika syarikat yang menganjurkan acara itu bergiat dengan riba? Seperti yang kita tahu, riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Jadi, adakah masyarakat muslim digalakkan untuk menyertai maraton tersebut? Ia merupakan aktiviti sihat, namun dianjurkan oleh syarikat yang melakukan riba.

Mari kita selami jawapan daripada Maktabah al-Bakri yang menjawab persoalan yang telah diberikan.

#3478: Menyertai Acara Maraton yang Dianjurkan oleh Syarikat Berasaskan Riba

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin dapatkan sedikit pencerahan berkenaan hukum menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba. Adakah peserta acara ini dikira mempromosikan institusi riba tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hangat diperkatakan tentang sebuah acara maraton yang baru-baru ini dianjurkan di ibu negara, Bandaraya Kuala Lumpur oleh sebuah syarikat yang berasaskan riba. Maka timbulnya persoalan penting dalam masalah ini, iaitu: Adakah dibenarkan menyertai apa sahaja program atau acara yang dianjurkan oleh syarikat yang berasaskan riba? Kami katakan juga bahawa pada asasnya aktiviti sukan seperti lumba lari atau maraton adalah aktiviti yang sihat, yang mana Islam menyebut khas berkenaan dengan hukum al-Sibaq atau perlumbaan. Ianya baik apabila menepati seluruh perkara sehingga terhasilnya perlumbaan tersebut daripada awal hingga akhir.

Sebelum menjawab persoalan ini, umum masyarakat Islam pasti tahu bahawa riba itu merupakan perkara yang telah jelas pengharamannya oleh syara‘. Seperti kata para ulama’:

الْمَعْلُومُ مِنْ الدِّينِ بِالضَّرُورَةِ

Maksudnya: “Perkara yang telah diketahui dalam agama ini (Islam) secara dharurat.”

Dalam erti kata lain, hampir sahaja mustahil adanya dikalangan muslim pada zaman ini yang masih tidak tahu bahawa hukum riba ini adalah haram menurut Islam. Tinggal saja seseorang itu redha dan tidak mengambil peduli tentang pengharaman ini, atau dia berusaha untuk menjauhi dan meninggalkannya.

Bahkan, dalil pengharaman ini juga sangat jelas berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘ (persepakatan) ulama’. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ»

Maksudnya: “‘Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar).’ Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling)’.”

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (145)

Imam al-Nawawi pula mengatakan: “Kaum muslimin telah bersepakat tentang pengharaman riba dan ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Dikatakan juga bahawa ia turut diharamkan pada semua syari‘at-syari‘at yang terdahulu.” (Lihat al-Majmu‘, 9/400)

Mempromosikan Syarikat Berasaskan Riba 

Seterusnya, persoalan yang diajukan ini sangat berkait rapat dengan masalah mempromosikan sesuatu perkara yang sudah jelas pengharamannya. Maka kami mulakan terlebih dahulu dengan takrifan promosi sesuai dengan bahasa Melayu dan uruf Malaysia. Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, promosi didefinisikan sebagai segala usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau mempertingkatkan jualan barang seperti eksport, pelancongan dan sebagainya.

Maka, termasuk juga dalam maksud promosi itu, apa sahaja bentuk usaha dan kegiatan yang boleh menggalakkan masyarakat atau mempertingkatkan jumlah pelanggan yang akan menggunakan sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat berasaskan riba yang dipromosikan itu.

Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT melarang mereka daripada bersatu atas kebatilan, dan bertolong-tolongan atau bekerjasama atas perkara dosa dan perkara yang haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/13)

Berdasarkan pemerhatian kami, laman rasmi acara maraton ini secara jelas telah menyebutkan setiap institusi dan syarikat yang turut serta bekerjasama dan menyumbang bagi menjayakan acara larian jarak jauh ini. Pada baju yang dijual bersempena dengan larian itu dan juga baju yang diberikan secara percuma kepada mereka yang menamatkan larian sejauh 42.195 KM juga turut dicetak bersama beberapa logo, antaranya:

  • Logo rasmi syarikat yang bertanggungjawab mewujudkan acara tersebut.
  • Logo rasmi acara maraton tersebut berserta nama syarikat berasaskan riba tersebut. 
  • Logo rasmi syarikat yang menjual kelengkapan untuk sukan larian.

Di antara logo-logo yang disebutkan di atas, terdapatnya unsur mempromosikan syarikat berasaskan riba. Maka, ini jelas merupakan suatu bentuk promosi yang ditegah berdasarkan dalil pengharaman tolong-menolong ke arah perkara yang haram di atas.

Antara hujjah lain mengapa mempromosikan syarikat berasaskan riba ditegah, kerana “promosi” itu sendiri menjadi wasilah (perantara) dan asbab meningkatnya pengamalan riba di syarikat tersebut. Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:

الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ

Maksudnya: “Semua wasilah (perantaraan atau cara), baginya hukum sesuatu tujuan yang hendak dicapai.”

Imam al-‘Izz bin Abdul Salam menyebutkan, apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat baik, maka wasilah tersebut juga dikira sebaik-baik wasilah. Dan apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat buruk, maka wasilah tersebut juga dikira seburuk-buruk wasilah. (Lihat Qawa‘id al-Ahkam, 1/53)

Imam al-Qarafi pula ketika membincangkan tentang kaedah di atas, beliau mengatakan: “Wasilah untuk sesuatu yang haram, maka hukumnya adalah haram. Dan wasilah untuk sesuatu yang wajib, maka hukumnya adalah wajib.” (Lihat al-Furuq, 3/111)

Fatwa berkenaan dengan isu yang hampir sama dengan persoalan yang diajukan ini juga pernah dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah, dan mereka menyimpulkan bahawa hukum bentuk promosi begini adalah diharamkan.

Kesimpulan

Kami katakan, tidak boleh seseorang muslim itu menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba kerana ianya merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya, iaitu riba.

Sekiranya dia mengetahui tentang pihak yang menaja acara tersebut menjalankan jual beli yang diharamkan oleh syara‘, tetapi masih degil dan enggan menjauhkan diri daripada mempromosikan syarikat tersebut, maka dia telah melakukan perkara yang haram dan berdosa.

Takutlah kita kepada ancaman yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti dalam riwayat Abu Hurairah R.A:

 وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا 

Maksudnya: “Sesiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak berkurang dosa itu walau sedikit.”

Riwayat Muslim (2674), Abu Dawud (4609), al-Tirmizi (2674), Ibn Majah (206) dan Ahmad (9160)

Akan tetapi, sekiranya dia tidak cakna tentang senarai penaja bagi acara maraton tersebut, atau tidak tahu bahawa syarikat tersebut menjalankan jual beli yang berunsurkan riba, maka kami berharap mereka ini diberikan keampunan oleh Allah SWT atas kesilapan apa yang mereka telah lakukan tanpa pengetahuan. 

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Dengan kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan kepada para pendakwah agar tidak memukul rata kesemua peserta yang menyertai acara maraton ini sebagai pendosa yang sengaja mempromosikan syarikat berasaskan riba. Yang lebih baik adalah kita menunjukkan sifat toleransi dan lemah lembut dalam memberikan nasihat serta peringatan agar masyarakat awam lebih mudah menerima kebenaran. Ingatlah kita kepada firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”

(Surah Al-Nahl: 125)

Kami mengesyorkan agar pihak yang terbabit dalam penganjuran, perlulah cakna dan prihatin akan sensitiviti umat Islam jika sekiranya ingin menganjurkan sebarang program. Sebagai contoh, pastikan penganjuran tersebut selamat daripada unsur yang membawa kepada tipu daya, riba, dan lain-lain. Kami yakin, niat dan nawaitu yang baik perlu diselarikan dengan mengikut neraca syari‘at. Usaha yang mereka lakukan itu akan bertambah tinggi nilai dan ertinya jika benar-benar dapat mematuhi piawaian syari‘at.

Dalam pada masa yang sama, kami juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada para pendakwah yang tidak putus-putus memberikan peringatan kepada masyarakat, memberikan penerangan tentang agama dan juga kebenaran kepada mereka. Semoga Allah SWT menerima segala amal baik yang telah dilakukan ini, dan menjadi pemberat mizan kebaikan di akhirat kelak.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”

Wallahu a‘lam

Sumber: Maktabah Al-Bakri

The post Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*