Hukum Ziarah Rumah Non-Muslim Yang Ada Memelihara Anjing

hukum ziarah rumah ada anjing

Hukum Ziarah Rumah Non-Muslim Yang Ada Memelihara Anjing

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Tidak hairanlah sekiranya mereka berkawan dan akan berkunjung ke rumah masing-masing. Tetapi, bagaimana pula jika anda mempuyai rakan non-muslim yang membela anjing di rumahnya?

Bukan itu sahaja, apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda merupakan seorang mualaf yang mahu menziarahi rumah ahli keluarga non-muslim yang lain?

Adakah anda perlu menolak jemputan yang diberi untuk menziarah rumah mereka? Kebanyakan orang beragama Islam mungkin akan menolak kerana khuatir mereka perlu menyertu setelah menziarahi rakan non-muslim mereka itu.

Ikuti perkongsian daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang telah memberikan pencerahan mengenai hal ini melalui soalan yang ditanya oleh seorang individu.

#1967: BOLEHKAH MEMASUKI RUMAH NON-MUSLIM YANG TERDAPAT BANYAK ANJING PELIHARAAN?

SOALAN

Assalamualaikum, Saya seorang mualaf yang masih mempunyai keluarga non-Muslim. Namun, kekeliruan yang saya hadapi adalah ketika ingin menziarahi keluarga saya yang memelihara anjing kerana dikhuatiri saya perlu menyertu setiap kali menziarahi ke rumahnya kerana akan duduk di sofa dan berada di sekitar kawasan rumah tersebut. Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Mualaf boleh menziarahi rumah saudara non-Muslimnya dalam kerangka mengeratkan silaturahim serta menjalinkan hubungan baik dengan mereka. Solusi bagi isu kegusaran terkena najis anjing apabila berada dirumah tersebut adalah dengan memastikan secara yakin tidak menyentuh najis anjing secara langsung. Hal ini kerana hukum tidak terbina terhadap sangkaan semata-mata. Walau bagaimanapun, sekiranya rumah non-Muslim tersebut dipenuhi anjing berkeliaran sama ada di dalam rumah mahupun luar rumah, maka digalakkan agar tidak bertandang ke rumah tersebut berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW tidak masuk ke rumah orang dipenuhi anjingJusteru muslim mahupun mualaf boleh memilih cara alternatif lain untuk berjumpa rakan mahupun menziarahi keluarganya.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW,para sahabat,  serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Agama Islam menitikberatkan hubungan harmoni sesama masyarakat tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama selagi mereka bukan kalangan yang memusuhi orang Islam. Bahkan, galakan berkelakuan baik dan berlaku adil terhadap non-muslim berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu daripada negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah: (8)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT tidak melarang untuk berbuat baik bagi mengeratkan tali persaudaraan terhadap orang musyrik (non-muslim) daripada kalangan kaum kerabatnya selagi mereka tidak memerangi dalam agama Islam. Bahkah tiada kesalahan bagi kalangan muslim berdoa kepada mereka sebagaimana seorang anak muslim mendoakan ibu bapa mereka yang non-Muslim. [1]

Persoalan berkaitan menziarahi non-Muslim yang rumahnya dipenuhi anjing berkeliaran. Terdapat riwayat yang menceritakan Nabi SAW tidak datang ke rumah yang terdapat anjing. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A.  :


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ
تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنُّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنُّوْرَ سَبُعٌ

Maksudnya:” Nabi SAW pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan Nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata: Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami. Nabi SAW bersabda: Ini kerana di dalam rumah kamu terdapat anjing-anjing. Mereka berkata : Di dalam rumah mereka terdapat sinnur (sejenis kucing), Lalu Nabi SAW menjawab : Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar (yang bukan syaitan dan bernajis) .”

(Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 8324 di dalam Musnad)

BACA JUGA: Hukum Makan Ketam Kelapa, Ini Jawaban Dr. Zulkifli

Seterusnya, apa-apa juzuk daripada bahagian anjing adalah najis. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam karya Majmuk :

قَالَ أَصْحَابُنَا لَا فَرْقَ بَيْنَ وُلُوغِ الْكَلْبِ وَغَيْرِهِ مِنْ أَجْزَائِهِ فَإِذَا أَصَابَ بَوْلُهُ أَوْ رَوْثُهُ أَوْ دَمُهُ أَوْ عَرَقُهُ أَوْ شَعْرُهُ أَوْ لعابه أو عضو منه شيثا طَاهِرًا مَعَ رُطُوبَةِ أَحَدِهِمَا وَجَبَ غَسْلُهُ سَبْعًا إحْدَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

“Para ulama kami (mazhab Syafi’i) berkata: tiada beza antara jilatan anjing dan selainnya daripada bahagian anggotanya, apabila air kencingnya, tahinya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau salah satu anggotanya yang terkena dengan sesuatu yang suci yang mana salah satunya basah, maka wajib disuci tujuh kali yang mana salah satunya dengan tanah.”[2]

Adapun, isu kegusaran mualaf yang khuatir perlu menyertu setiap kali menziarahi saudara non-muslim kerana akan duduk di sofa dan berada di sekitar kawasan rumah tersebut, maka selagi yakin tidak menyentuh mahupun terkena najis anjing, maka tidak perlu menyertu. Ini berdasarkan kaedah tersebut:

الأَصْلُ بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

“Asal(bagi satu-satu hukum) adalah mengekalkannya seperti mana sebelum”[3]

Seterusnya, sesuatu sangkaan terhadap perkara yang masih tidak pasti sama ada terkena najis anjing mahupun sebaliknya. Maka, perkara tersebut masih pada peringkat syak, maka hendaklah diabaikan segala syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Hal ini kerana perkara yang dzan tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktiqad).

(Surah al-Najm: 28)

Selain itu, kaedah yang bertepatan tentang syak menyebutkan bahawa:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: Hukum tidak akan terbina ke atas perkara syak. [4]

Sebaliknya sekiranya yakin dan melihat dengan mata kepala sendiri najis anjing terkena pada kulit tubuh   maka perlu dibasuh dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali berdasarkan hadis tersebut :

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

MaksudnyaPenyucian bekas salah seorang daripada kalian apabila dijilat anjing dengan membasuh tujuh kali, yang pertamanya dengan tanah (dalam riwayat lain: salah satunya dengan tanah).

Riwayat Imam Muslim (279)

PENUTUP

Berdasarkan hujah yang dibentangkan, mualaf boleh menziarahi rumah saudara non-Muslimnya dalam kerangka mengeratkan silaturahim serta menjalinkan hubungan baik dengan mereka. Walau bagaimanapun, solusi bagi isu kegusaran terkena najis anjing apabila berada dirumah tersebut adalah dengan memastikan secara yakin tidak menyentuh najis anjing secara langsung. Hal ini kerana hukum tidak terbina terhadap sangkaan semata-mata. Namun, sekiranya sukar untuk dielakkan kerana banyak anjing berkeliaran dalam kawasan rumahnya, maka individu tersebut digalakkan agar tidak bertandang ke rumah tersebut berdasarkan hadis yang telah dikemukakan bahawa Nabi SAW tidak masuk kerumah orang yang terdapat banyak anjing. Justeru, mualaf tersebut boleh mencari segala cara alternatif lain untuk meneruskan jalinan silaturahim bagi menyantuni mereka.

Wallahu A’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

The post Hukum Ziarah Rumah Non-Muslim Yang Ada Memelihara Anjing appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*