Ini Yang Akan Berlaku Jika Angkasawan Mati Di Angkasa

angkasawan mati di angkasa

Ini Yang Akan Berlaku Jika Angkasawan Mati Di Angkasa

Jika kita terfikir pasal angkasa, mesti kita membayangkan tentang planet, bintang-bintang yang wujud selama berjuta tahun ataupun ruang angkasa yang gelap.

Keluasan angkasa juga menjadikan kita ingin tahu apa yang ada di sana. Disebabkan manusia mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, maka program penjelajahan angkasa untuk mengkaji tentang segala khazanah di angkasa diwujudkan.

Antara program yang dijalankan ialah Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (International Space Station) dan program koloni planet Marikh.

Seperti yang kita tahu, tugas seorang angkasawan adalah menjalankan penyelidikan serta eksperimen yang bertujuan untuk masa akan datang.

Dalam pada itu, tugas mereka sangat berbahaya kerana banyak risiko yang mereka perlu hadapi. Antaranya, membersihkan panel solar atau memeriksa peralatan yang tidak berfungsi di luar kapal angkasa.

Tetapi, apa akan terjadi jika seseorang meninggal dunia di angkasa? Apa yang berlaku pada mayat tersebut?

Gambar: AFP

Sebenarnya, tidak banyak perubahan yang berlaku. Di Bumi, bakteria-bakteria dalam badan kita akan makan sel-sel badan yang telah mati. Bakteria-bakteria dalam tanah juga akan menghancurkan badan kita dalam masa beberapa hari.

BACA: Angkasawan Terapung Bebas Tanpa Ikatan Tali, Gambar Angkasa Lepas Paling Menakutkan Pernah Diambil

Menurut Dekan Kesihatan dan Sains Hayat Universiti Teesside, Tim Thompson, graviti berbeza yang dilihat di planet lain pastinya akan memberi kesan kepada peringkat livor mortis (lebam mayat).

“Kekurangan graviti semasa terapung di angkasa bermakna darah tidak akan berkumpul,” katanya.

Tim yang juga merupakan Profesor Antropologi Biologi Gunaan berkata rigor mortis (kaku mayat) masih akan berlaku di dalam pakaian angkasa.

“Ia adalah hasil daripada pemberhentian fungsi badan. Manakala, bakteria dari usus masih akan memakan tisu lembut.

“Tetapi bakteria ini memerlukan oksigen untuk berfungsi dengan baik dan bekalan udara yang terhad akan melambatkan proses dengan ketara,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, mikrob dari tanah juga membantu penguraian. Justeru, mana-mana planet yang menghalang tindakan mikrob seperti akibat kekeringan yang melampau boleh meningkatkan peluang memelihara tisu lembut.

Ketika di Bumi, penguraian sisa manusia membentuk sebahagian daripada ekosistem yang seimbang di mana nutrien dikitar semula oleh organisma hidup, seperti serangga, mikrob dan tumbuhan.

Persekitaran di planet yang berbeza pula tidak akan berkembang, yang memperlihatkan badan kita tidak terurai dengan cara yang sama.

Bagaimanapun, keadaan kering seperti di Marikh mungkin akan menyebabkan tisu lembut menjadi kering. Malah, mungkin juga sedimen yang ditiup angin akan menghakis dan merosakkan rangka dengan cara yang kita lihat di Bumi.

Gambar: AFP

Adakah mayat akan dibawa kembali ke bumi?

Sementara itu, Profesor Perubatan Angkasa dan Perubatan Kecemasan di Kolej Perubatan Baylor, Emmanuel Urquieta, berkata jika seseorang mati dalam misi orbit Bumi rendah seperti di Stesen Angkasa Antarabangsa, kru boleh mengembalikan mayat ke Bumi dalam kapsul dalam masa beberapa jam.

Manakala, jika ia berlaku di Bulan, mayat akan dibawa pulang dalam beberapa hari.

Menurutnya, pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) sudah mempunyai protokol terperinci untuk kejadian tersebut.

“Oleh kerana pengembalian yang pantas itu, kemungkinan besar pemeliharaan mayat tidak akan menjadi perhatian utama NASA.

“Sebaliknya, keutamaan nombor satu mereka ialah memastikan kru yang masih hidup kembali dengan selamat ke Bumi,” katanya.

Tetapi, berbeza pula jika seorang angkasawan mati semasa perjalanan sejauh 300 juta batu ke Marikh. Kru mungkin tidak akan berpatah semula ke bumi ketika itu.

Sebaliknya, mereka mungkin akan kembali ke Bumi bersama-sama mayat pada akhir misi, iaitu dalam beberapa tahun kemudian.

Ketika itu, mayat akan disimpan di dalam ruang berasingan atau dalam beg badan khusus. Suhu dan kelembapan yang stabil di dalam kapal angkasa secara teorinya akan membantu memelihara mayat tersebut.

Tetapi ia hanya akan digunakan jika seseorang mati dalam persekitaran bertekanan, seperti  di  dalam stesen angkasa atau kapal angkasa.

Senario berbeza pula akan berlaku jika seseorang melangkah keluar ke angkasa lepas tanpa perlindungan pakaian angkasa.

Menurut Emmanuel, angkasawan tersebut akan mati hampir serta-merta kerana kehilangan tekanan dan pendedahan kepada ruang vakum. Ia menyebabkan angkasawan tidak boleh bernafas dan menyebabkan darah serta cecair dalam badan akan mendidih.

Gambar: Nick Hague/NASA/AFP

Bagaimana dengan pengebumian?

Jika angkasawan mati selepas mendarat, contohnya di permukaan Marikh, kru yang masih hidup tidak digalakkan untuk membakar mayat tersebut kerana mereka memerlukan terlalu banyak tenaga untuk tujuan lain.

Selain itu, pengebumian juga bukan merupakan idea yang baik. Hal ini kerana bakteria dan organisma lain dari badan boleh mencemari permukaan Marikh.

Sebaliknya, kru berkemungkinan akan menyimpan mayat itu di dalam beg mayat khusus sehingga ia boleh dikembalikan ke Bumi.

“Masih banyak yang tidak diketahui mengenai bagaimana angkasawan akan mengendalikan kematian. Ia bukan setakat soal apa yang perlu dilakukan dengan mayat.

“Tetapi ia juga mengenai penerimaan kehilangan rakan sejawat dan dalam masa yang sama mereka perlu memikirkan tentang keluarga yang berduka.

“Ia sama penting dengan mengendalikan rakan yang sudah meninggal dunia,” kata Emmanuel.

Sumber: theconversation (1),  (2)

The post Ini Yang Akan Berlaku Jika Angkasawan Mati Di Angkasa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*