Jangan teruja untuk membankrap diri sendiri

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk menulis berkaitan perkara di atas setelah membaca banyak komen-komen dalam media sosial berkenaan kejayaan seorang individu yang berkongsi kisahnya berjaya memohon kebankrapan atas diri sendiri.

Untuk makluman, membankrapkan diri sendiri dipanggil bankrap atas petisyen penghutang. Kebiasaannya permohonan bankrap dibuat oleh pihak pemiutang atas petisyen pemiutang akibat kegagalan penghutang membayar hutang yang bernilai lebih RM100,000.

Untuk membankrapkan diri sendiri, petisyen penghutang tiada had yang ditetapkan dalam Akta Insolvensi 1967. Maksudnya sesiapa pun boleh memohon untuk mahkamah mengeluarkan perintah kebankrapan ke atas diri sendiri tanpa nilai minimum ditetapkan.

Membankrapkan diri sendiri sepatutnya hanya menjadi pilihan terakhir jika seseorang itu tidak tahu jalan mana yang lebih sesuai untuk menyelesaikan masalah dibelenggu hutang.

Namun, sebelum memohon bankrap atas diri sendiri seharusnya seseorang itu mendapat ilmu pengetahuan yang sepenuhnya berkaitan kesannya termasuk segala harta dan aset mereka akan dirampas Jabatan Insolvensi dan dilelong untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang.

Walaupun jabatan itu diberi kuasa untuk tidak merampas rumah yang didiami orang bankrap atau kereta yang digunakannya namun itu tertakluk kepada budi bicara pegawai insolvensi.

Untuk bebas bankrap salah satu caranya adalah pembatalan kes secara automatik menurut Seksyen 33C yang membebaskan bankrap secara automatik selepas tiga tahun. Namun, adakah membankrapkan diri sendiri membolehkan seseorang itu boleh memohon bebas di bawah seksyen berkenaan?

Hal ini masih belum mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas di Jabatan Insolvensi. Jika Seksyen 33C tidak terpakai kepada bankrap yang membuat petisyen penghutang, maka individu terbabit tidak boleh bebas selepas tiga tahun. Hal ini masih belum dijelaskan oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, jika seseorang bankrap yang bekerja sebagai penjawat awam biasanya akan dikenakan tindakan tatatertib atas sebab keberhutangan yang melampau.

Ini akan menyebabkan mereka tidak boleh menerima kenaikan pangkat. Mungkin Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) juga tidak boleh dicalonkan.

Jika penjawat awam yang bankrap itu bertugas dalam gred profesional atau bidang kewangan, maka beliau akan dipindahkan ke bahagian pentadbiran yang tidak melibatkan keputusan kewangan.

Untuk gred profesional seperti doktor dan pegawai undang-undang seperti peguam pula semuanya tidak boleh meneruskan lesen profesional mereka. Maka perlu berhenti kerja.

Manakala mereka yang bertugas dalam sektor swasta juga akan menerima kesan. Sebagai contoh jika polisi syarikat itu tidak mahu seseorang pekerja mereka terdiri daripada golongan bankrap, maka mereka yang bankrap akan diberhentikan kerja.

Bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta dalam bidang kewangan juga tidak boleh meneruskan kerja dalam jabatan kewangan tersebut. Perlu dipindahkan ke bahagian pentadbiran yang tiada kuasa dalam membuat keputusan kewangan.

Nasihat ikhlas saya, pastikan anda mempunyai ilmu kebankrapan yang menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk membankrapkan diri sendiri.

Dapatkan penasihat undang-undang yang boleh menasihati anda sebelum anda membuat keputusan membankrapkan diri sendiri.

Pastikan juga anda tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang ketika mahu meneruskan keputusan untuk membankrapkan diri sendiri. – UTUSAN

IKAZ, Kuala Lumpur

The post Jangan teruja untuk membankrap diri sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*