Kelulusan Permohonan Pekerja Asing: Usahawan Tiga Sektor Sedia Beri Latihan

pekerja asing tiga sektor

Kelulusan Permohonan Pekerja Asing: Usahawan Tiga Sektor Sedia Beri Latihan

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Usahawan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini menghadapi masalah susulan pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor itu menyatakan kesediaan memberikan latihan kepada warga tempatan bagi mengisi keperluan pekerja sektor berkenaan.

Penolong Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia (Mindas) M Meenaq Kumar berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluluskan sebahagian permohonan bagi mendapatkan pekerja asing bagi sektor itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melancarkan urusan perniagaan.

“Pengumuman Perdana Menteri tempoh hari untuk meluluskan sebahagian permohonan itu sangat bagus, misalnya kedai saya perlukan dua orang untuk ‘bernafas’, jadi kalau sebahagian, satu orang tempatan satu pekerja asing jadi kami boleh berikan mereka (pekerja tempatan) latihan yang diperlukan.

“Bagi kami memang tiada masalah sebab sebelum ini kami memang menggaji pekerja tempatan dan beri latihan tetapi apabila sudah lama dan mahir mereka akan dapat tawaran yang lagi bagus atau dah cukup modal mereka pula akan jadi usahawan, jadi untuk atasi ini, kami perlukan tenaga kerja asing untuk bantu jalankan perniagaan kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Meenaq yang menyambut baik pengumuman itu berkata ia memberikan kelegaan kepada kesemua usahawan berkaitan setelah 14 tahun pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor terbabit yang dikuatkuasakan sejak tahun 2009.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu namun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja, melibatkan tiga sektor berkenaan.

Berkongsi sentimen sama Setiausaha Agung Persatuan Tekstil India dan Kedai Runcit (MITA) Maheswary Ramasamy turut menyatakan kesediaan untuk memberikan latihan kepada pekerja tempatan bagi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga luar.

BACA JUGA: Kemasukan 500,000 Pekerja Warga Asing Bagi Sektor Tidak Diminati Warga Tempatan

“Kami memang sudi melatih pekerja tempatan…macam sektor tekstil, kami tidak memerlukan kemahiran yang tahapnya terlalu tinggi.

“Sebagai contoh, barang-barang kami diimport dari India, jadi mereka cuma perlu tahu untuk perkahwinan barang apa yang diperlukan, atau untuk kematian dan sebagainya, kami menjual pakaian tradisional jadi ilmu itu memang sudah ada,” katanya.

Malaysian Indian Goldsmith Jewellers Association (MIGJA) Datuk Abdul Rasull Abdul Razak pula berkata pada masa ini pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai perkara itu dan menunggu keputusan  Kabinet yang akan membincangkan perkara itu secara lanjut.

Abdul Rasull berkata ia kerana sektor berkenaan melibatkan modal yang tinggi dan tenaga kerja mahir membabitkan bayaran gaji yang tinggi mencecah RM15,000 seorang.

“Kami tunggu dahulu keputusan, kalau semua okay, kemudian kami akan rangka program atau apa-apa yang bersesuaian untuk melatih mereka (pekerja tempatan) ini, kita tiada masalah,” katanya.

Beliau turut berpandangan pengumuman Perdana Menteri berkenaan juga dibuat tepat pada masanya kerana ia mampu menyelamatkan usahawan emas daripada gulung tikar disebabkan kekurangan tenaga kerja mahir.

“…pekerja yang mahir pun kebanyakan umur sudah lanjut dan ada yang telah meninggal…jadi anak-anak mereka tak berminat nak kembangkan perniagaan, lebih berminat untuk bekerja dengan kerajaan, ini antara sebab pengumuman ini dapat membantu kami,” katanya.

Beliau berkata perusahaan emas amat memerlukan tenaga kerja mahir terutamanya dari India atau Sri Lanka kerana ia berkait dengan trend terkini berdasarkan permintaan pelanggan yang menginginkan rekaan yang unik dan menarik.

Sumber: BERNAMA 

The post Kelulusan Permohonan Pekerja Asing: Usahawan Tiga Sektor Sedia Beri Latihan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*