Kenali Allahyarham Suhaimi Saad, Mengenang Perjalanan Arwah Dalam Industri Nasyid

kenali suhaimi saad

Kenali Allahyarham Suhaimi Saad, Mengenang Perjalanan Arwah Dalam Industri Nasyid

Sebentar tadi, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian bekas anggota kumpulan nasyid, Inteam, iaitu Suhaimi Saad yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 7.40 malam tadi.

Beberapa hari yang lalu, media melaporkan bekas penyanyi nasyid itu telah mengalami kegagalan organ dalaman yang menyebabkan beliau ditidurkan.

Difahamkan juga, beliau telah bergantung pada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor.

Sejak empat bulan lalu, Suhaimi telah mengalami masalah batuk kronik manakala cirit-birit sejak tiga bulan lalu.

Sakit yang dialaminya membuatkan dirinya kehilangan berat badan dengan mendadak, sebelum ‘segalanya’ tamat selepas beliau pergi menghadap Penciptanya.

BACA: Suhaimi Saad Meninggal Dunia – Inteam

Lakar nama sejak tahun 2000

Bagi generasi baharu, kemungkinan mereka tidak terlalu biasa dengan figura ini tetapi Suhaimi telah melakar nama di dunia seni sejak pada tahun 2000 lagi. 

Beliau merupakan salah seorang ahli Inteam sehingga 2005 dan pada tahun yang sama juga Suhaimi membuat keputusan untuk berundur dari kumpulan itu untuk bergerak secara solo.

Suhaimi atau nama sebenarnya Muhd Suhaimi Saad sebelum ini terkenal dengan nama gelaran Suhaimi Inteam, namun selepas bergerak solo beliau mula dikenali sebagai Suhaimi Saad. 

Difahamkan, bekas penyanyi nasyid yang berusia 43 tahun itu mempunyai ijazah dalam pengajian Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anak kelima daripada enam adik beradik itu juga memiliki syarikat pengurusan sendiri, Karya Mosus dan mula menerbitkan album solo pertama berjudul Kias Cinta pada 2006.

Album yang dihasilkan

Kemudian, beliau juga aktif menghasilkan lagu dengan album berjudul Kalamak pada tahun 2008, Zikir Selawat dan Doa pada 2013 dan Maksud Hidup pada tahun 2016.

Tidak dilupakan, anak kelahiran Pahang itu juga pernah menghasilkan enam buah album bersama Inteam iaitu Kasih Kekasih pada tahun 2000, Impian Kasih pada 2001 dan Damba Kasih pada 2003.

Selain itu, karya lainnya ialah In-Team ‘04 pada 2004, Allahu Rabbi pada tahun 2010 dan pada 2013 Iman dan Aman.

Menyentuh tentang pasangan, Suhaimi mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 bersama Ina Naim yang juga merupakan bekas tunang kepada Asmawi Ani atau Mawi, juara Akademi Fantasia musim ketiga.

Kredit: Iluminasi

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Bagaimanapun selepas bertahun bergelumang dalam bidang muzik, Suhaimi menyatakan dirinya tidak mahu lagi bergelar penyanyi nasyid pada 2021.

Suhaimi yang selesa digelar dengan namanya sendiri juga telah melakukan kerja sampingan seperti bekerja sebagai guru mengaji dalam talian, tukang urut dan perniagaan dalam talian bersama isterinya.

Fakta menarik tentang Suhaimi

Sedikit maklumat, Suhami antara artis yang sering melakukan persembahan secara live dan beliau juga tidak pernah miming ketika menyanyikan lagu-lagunya di khalayak ramai.

Semasa merakamkan sebuah lagu, rekod paling pantas lagu itu siap dirakam adalah kurang daripada 10 minit, membuktikan beliau sememangnya penyanyi yang berkaliber, memetik Munsyeed.

Mula kongsi kehidupan di live TikTok

Ketika dunia dilanda dengan wabak Covid-19 yang dahsyat, Suhaimi mula aktif di aplikasi TikTok dan sering melakukan siaran langsung (live) untuk bermesra dengan pengikutnya.

Sejak dari itu, beliau rajin menyantuni warga maya dan turut berkongsi tentang rutin harian yang dilakukan olehnya.

Gambar: Tangkap layar Facebook
Gambar: Tangkap layar Facebook

Selain itu, beliau juga banyak berkongsi ilmu tentang kisah-kisah nabi serta ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Warga maya turut mengakui terkesan dengan pemergiannya kerana sering menonton live yang dilakukannya di TikTok.

Meskipun sedih dengan ketiadaannya di dunia ini namun Allah juga telah menyatakan ‘setiap yang bernyawa pasti akan mati’.

Mari kita semua sedekahkan surah Al-fatihah kepadanya, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.

Sumber: Iluminasi (1), (2), Siakap Keli/Facebook, Munsyeed

BACA: Suhaimi Saad Sempat Mohon Maaf Sebelum Ditidurkan di ICU

The post Kenali Allahyarham Suhaimi Saad, Mengenang Perjalanan Arwah Dalam Industri Nasyid appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*