Kenduri Seni Kampung Meraikan Kreativiti Dan Kelestarian Budaya Di Ulu Dong

19 OGOS 2023 – Kementerian Pelancongan, Seni, dan  Budaya (MOTAC) menerusi agensinya, Balai Seni Negara  dengan kerjasama Artgardenmadi mengadakan Program  Seni Di Lokasi: Kenduri Seni Kampung Ulu Dong yang  berlangsung bermula 15 Ogos hingga 20 Ogos 2023 di Ulu  Dong, Raub, Pahang. Program ini merupakan salah satu  usaha dalam mempromosikan kelestarian seni dan  budaya serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi  komuniti tempatan melalui kenduri seni, kerja seni,  sembang saran dan bakat seni kreatif. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Khairul  Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni,  dan Budaya di Artgardenmadi, Kampung Peruas, Ulu  Dong. Program Kenduri Seni Kampung merupakan  platform yang menyatukan komuniti dan penggiat seni  dengan memberi fokus kepada pemulihan ekonomi,  kelestarian seni serta pertumbuhan keusahawanan seni.

Kenduri Seni Kampung

Program yang mempromosikan kreativiti dan semangat  kolaborasi dalam kalangan penggiat seni dan komuniti ini  membawakan lebih 10 aktiviti serta pengisian. Antaranya  ialah Aur di Tebing yang mengetengahkan kreativiti  penggunaan buloh. Ia melibatkan penggiat seni dari  dalam dan luar negara. Selain itu, Bengkel Anyaman Kitar  Semula turut diadakan bagi mempromosikan kelestarian  alam dengan mengubah bahan plastik kitar semula  menjadi produk seni yang praktikal antaranya bakul, alas,  beg, kulit fail dan sebagainya.  

Selain itu, tarikan menarik dan unik di Ulu Dong dilahirkan  menerusi Mural Seni. Penghasilan karya seni mural bersaiz  1000 kaki persegi di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong melibatkan pelukis tempatan iaitu Suhaimi Ali dan Shal  Sefehee, pihak sekolah serta orang awam di sekitar  kawasan berkenaan. Selain mampu menjadi tarikan  kepada pelancong, ia sekaligus mampu memupuk sikap  tanggungjawab masyarakat terhadap hasil seni awam. 

Menarik program kali ini, Balai Seni Negara turut  mengadakan Corporate Social Responsibility (CSR) melalui  “Bela Gambo” iaitu preservasi dokumen-dokumen  kenangan antaranya sijil kelahiran, sijil perkahwinan, foto 

foto peribadi dan dokumen peribadi lain bersama komuniti  setempat. Kaedah “Membela Gambo” adalah melibatkan  rawatan cucian kering, rawatan tampalan koyak serta  pengkapsulan dokumen. Mereka yang terlibat turut diberi  pendedahan berkenaan kaedah pemeliharaan dokumen peribadi yang mempunyai nilai sejarah pemiliknya dan  perlu dijaga. 

Kenduri Seni Kampung

Di samping itu, program ini turut menganjurkan sesi  perkongsian mengenai potensi buloh sebagai bahan seni  dan industri yang bernilai tinggi melalui Wacana Buloh  ‘Potensi Tanaman dan Produk Buloh’ oleh Ir. Major Hj.  Ahmad Mazlan bin Othman, Penggerak dan Pakar Buloh.  Mereka yang terlibat juga turut didedahkan dengan  teknik membuat hasil seni daripada buloh dengan  menyertai Bengkel Seni Buloh.  

Antara aktiviti lain adalah Cerita Aok Anok Sape, Pameran  Lukisan Tanah Air, Gotong-Royong Pembersihan Sungai,  Botanical Drawing ‘Herba Ulu Dong’, Pameran Lukisan  Tanah Air, Pameran SWCORP, Bengkel Seni Main Tanah,  Permainan Tradisional, Keusahawanan Seni, Jualan Produk  Pelancongan Rekreasi/Pekan Sari, Sembang Rakyat  “Sejarah Kenduri Kendara”, Bengkel Zapin, Persembahan  Seni Budaya dan Senaman Taichi. 

Kenduri Seni Kampung merupakan sebuah program yang  dilihat mampu menjana kreativiti dan kelestarian budaya  di Ulu Dong seterusnya meningkatkan kesedaran  masyarakat akan kepentingan seni dalam  mempromosikannya sebagai salah satu destinasi yang  patut dikunjungi oleh pelancong tempatan dan  antarabangsa. 

Kenduri Seni Kampung

Majlis perasmian turut dihadiri YB Encik Fadzli bin  Mohamad Kamal, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Dong, YBrs.  Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua  Setiausaha (Kebudayaan), YBrs. Encik Amerrudin Ahmad,  Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Yang Mulia Tengku 

Azuddin Shah Bin T. Alang, AMP, Penolong Pegawai  Daerah wakil rasmi Pegawai Daerah Raub, serta pegawai pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi.  

Maklumat lanjut mengenai program ini, sila ikuti media  sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang  www.artgallery.gov.my.  

The post Kenduri Seni Kampung Meraikan Kreativiti Dan Kelestarian Budaya Di Ulu Dong appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*