Kes baharu mingguan Covid-19 terus menurun

PUTRAJAYA – Sebanyak 3,231 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi 1 (ME 1/2023) dari 1 hingga 7 Januari, iaitu penurunan sebanyak 14.2 peratus berbanding 3,767 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya (ME52).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes tempatan Covid-19 menurun sebanyak 14 peratus kepada 3,213 kes berbanding 3,735 kes, manakala bilangan kes import pada ME1 menurun sebanyak 43.8 peratus dengan rekod 18 kes.

“Bilangan kes kematian pada ME 1/2023 menurun sebanyak 4.5 peratus daripada 22 kes kepada 21 kes dan bilangan kes sembuh berkurangan kepada 3,781 kes berbanding 5,869 kes pada ME 52.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME1 ialah 11,278 iaitu turun sebanyak 10.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, bermula dari 25 Januari 2020 iaitu ME 4/2020 hingga 7 Januari 2023 (ME 1/2023) secara kumulatif sebanyak 5,029,908 kes baharu Covid-19 dicatatkan, manakala kes sembuh yang direkodkan ialah 4,981,975.

Jelas beliau, kumulatif kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 36,874 kes dan kumulatif kluster ialah 7,167 kluster dengan sembilan kluster masih aktif.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk secara keseluruhan menurun sebanyak dua peratus pada ME1 berbanding ME52.

“Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua menurun sebanyak 15.4 peratus manakala jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun sebanyak 7.7 peratus,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi perkembangan melibatkan Influenza Like Illnes (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI), sebanyak 27 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 3.5 peratus pada ME 1/2023, manakala sebanyak 2.6 peratus SARI dikesan positif Covid-19 pada minggu sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara serta akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.- KOSMO! ONLINE

The post Kes baharu mingguan Covid-19 terus menurun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*