SSM Perkenal Tiga Inisiatif Pengurangan Kompaun, Lanjutkan Tempoh Masa Pendaftaran SSM BizTrust Secara Percuma

Kuala Lumpur, 16 Februari 2023 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun bagi tahun ini pada Januari lalu. KPDN melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga akan melanjutkan tempoh masa pendaftaran BizTrust secara percuma hingga hujung tahun ini.

Inisiatif pertama melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus ‘dissolved’ di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016. Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang telah tutup.

Bagi inisiatif kedua, SSM memperkenalkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016. Pengurangan kompaun ini akan diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan diambil tindakan oleh pihak syarikat.

Pengurangan kompaun hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016. Pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Gambar hiasan via Bernama

Bagi inisiatif ketiga, SSM meneruskan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat di dalam pendaftaran SSM adalah terkini dan juga bagi mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM. Di samping itu, ia juga meringankan beban kewangan syarikat-syarikat ke arah pemulihan ekonomi negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Lanjutan daripada pengumuman tersebut, SSM juga akan meneruskan lima lagi inisiatif sedia ada dengan beberapa penambahbaikkan, menjadikan bilangan keseluruhan lapan inisiatif SSM pada tahun 2023.

Bagi inisiatif keempat, SSM melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2023 dan memperluaskan penggunaan Kod QR SSM BizTrust kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar yang boleh diperolehi secara automatic.

Bagi inisiatif kelima, SSM meneruskan pelaksanaan inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diperkenalkan pada tahun 2021 untuk menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa. Pada tahun 2023, syarat SPPP diperluaskan kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40
untuk menggalakkan isi rumah usahawan kumpulan tersebut menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini.

Inisiatif keenam pula, SSM meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) yang menyediakan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma bagi menggalakkan golongan OKU menceburi bidang perniagaan secara sah.

Gambar hiasan via Bernama

Inisiatif ketujuh, SSM akan meneruskan cadangan pindaan bagi menambahbaik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi. Inisiatif ini adalah penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat dari kesan pandemik COVID-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.

Rang Undang-Undang ini juga akan memperkenalkan peruntukkan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.

Melalui inisiatif kelapan pula, SSM akan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisma penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. Peruntukan-peruntukan ini bertujuan untuk menambahbaik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi entiti Perkongsian Liabiliti Terhad.

KPDN dan SSM berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini dapat membantu ke arah pemulihan ekonomi negara sejajar dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

The post SSM Perkenal Tiga Inisiatif Pengurangan Kompaun, Lanjutkan Tempoh Masa Pendaftaran SSM BizTrust Secara Percuma appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*